Oleh Muhammad Asyraf Azlan
KUALA LUMPUR: Tindakan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli menyerahkan
maklumat dakwaan rasuah kerajaan Selangor kepada Presiden PKR, Datuk
Seri Wan Azizah Wan Ismail sebelum memberikannya kepada Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disifatkan 'pelik' oleh Pengerusi
Kelab Penyokong Kerajaan, Tan Sri Shahrir Samad.
Katanya, dakwaan rasuah itu adalah melibatkan kerajaan negeri Selangor
bukannya parti PKR dan maklumat yang diperolehi itu seharusnya terus
diserahkan kepada pihak berkuasa.
"Saya pelik kerana jika Rafizi mempunyai butir maklumat sepatutnya
serahkan kepada pihak SPRM. Kenapa hendak serahkan kepada presiden parti
kerana jika dikatakan rasuah di dalam pentadbiran ianya bukan soal
parti lagi kecuali apa yang dimaksudkan oleh Rafizi ialah tuduhan
serangan atau tuduhan dakwaan terhadap seorang pemimpin parti PKR itu
sendiri.
"Saya juga pelik kenapa Rafizi menganggap perkara ini macam soal
dalaman parti sedangkan dituduh itu ialah pentadbiran negeri Selangor.
Jadi bagi orang biasa yang membaca diikuti apa yang dilakukan oleh
Rafizi ini kita tidak tahu apa permainannya yang sebenar," katanya
ketika ditemui Antarapos baru-baru ini.
Minggu lalu Rafizi dalam satu perbualan Whatsapp yang 'terbocor'
mendedahkan beliau menerima aduan bahawa wujud permintaan habuan wang
dan 'perempuan' ketika berurusan dengan kerajaan negeri Selangor.
Susulan itu, Rafizi menyerahkan maklumat itu kepada Azizah dan juga
Biro Politik PKR bagi membuat keputusan sama ada ingin menyerahkan
perkara itu kepada SPRM atau tidak.
Menurut Shahrir lagi, sebagai sebuah parti yang berpegang kepada agenda
reformasi, PKR seharusnya perlu melakukan perubahan di negeri Selangor
dahulu sebelum berhasrat ingin merampas kerajaan daripada Barisan
Nasional (BN).
"Matlamatnya nampak seperti hendak menubuhkan kerajaan dan menggantikan
BN dalam kerajaan di Putrajaya, jadi reformasinya sepatutnya dapat
dilihat awal-awal di negeri Selangor.
"Katakan sebagai pemimpin PKR yang menjadi menteri besar sepatutnya
reformasi itu lebih dilakukan di bawah kepimpinan Azmin Ali dan jika
saya bandingkan dengan bekas menteri besar yang dulu Tan Sri Khalid
Ibrahim lebih banyak perubahan yang dilakukan oleh Khalid semasa
pentadbiran di bawahnya berbanding Azmin Ali.
"Reformasi kadang-kadang dijadikan cogan kata tetapi tidak dipegang sebenarnya sebagai satu perjuangan," ujarnya.
Sementara itu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan dalam satu
kenyataan Khamis berkata akan menyerahkan maklumat rasuah itu di pejabat
SPRM, Putrajaya kira-kira 11.30 pagi Isnin depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.