MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan tindakan
beberapa Ahli Parlimen DAP yang mempertikaikan usul yang dibawanya
mengenai Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)
(Pindaan) 2015 di Dewan Rakyat semalam adalah tidak beradab dan ingin
memusuhi Islam.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan, tindakan DAP yang
terus melenting sebaik usul itu dibentang semalam jelas menunjukkan
sifat mereka yang biadab dan anti-Islam.
Sedangkan katanya, terdapat parti bukan Islam seperti MCA, Gerakan dan
MIC juga kadangkala tidak bersetuju dengan agenda orang Islam namun
mereka lebih tertib dan beradab jika mereka tidak bersetuju dengan hal
berkenaan.
"DAP telah menunjukkan sikap anti-Islamnya. DAP tidak ada adab dan dia terus melenting dan menentang (usul berkenaan).
Pada hal usul ini tidak berkait dengan orang bukan Islam pun.
"Saya turut kesal dengan PAN (Parti Amanah Negara) yang digunakan DAP
dalam hal ini kerana telah melanggar sempadan agama sendiri demi
kepentingan politik," katanya kepada pemberita di pejabat Kesatuan Ulama
Islam Sedunia di sini, hari ini.
Semalam, Abdul Hadi membentangkan usul berkenaan di Dewan Rakyat dengan
tujuan memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah di negara ini.
Dalam rang undang-undang ahli persendirian yang kali pertama dalam
sejarah dibentangkan oleh wakil pembangkang itu, Abdul Hadi mencadangkan
supaya Seksyen 2 rang undang-undang berkenaan digantikan dengan seksyen
baru.
Dengan pindaan itu, Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas
seseorang penganut agama Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah
perkara-perkara yang disenaraikan dalam Butiran 1 Senarai Negeri di
bawah Jadual Kesembilan Undang-Undang Persekutuan.
Bagaimanapun, sebelum ia dibentang oleh Abdul Hadi, beberapa wakil
pembangkang termasuk Anthony Loke (DAP-Seremban), Teresa Kok
(DAP-Seputeh), Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching), Khalid Abdul Samad
(PAN-Shah Alam) dan Dr Michael Jeyakumar Devaraj (PSM-Sungai Siput)
bangkit untuk mempertikaikan mengapa usul yang dibawa Abdul Hadi itu
didahulukan sedangkan ia berada di kedudukan ke-15 atau terakhir dalam
Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat semalam.
Tan Sri Pandikar Amin Mulia seterusnya membenarkan ia dibentang atas budi bicara beliau sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Ditanya adakah tindakan membentangkan usul tersebut sebagai gimik
politik menjelang pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala
Kangsar, Abdul Hadi berkata ia tidak ada kena mengena dengan politik.
Abdul Hadi berkata ini bukan kali pertama usul itu dibentang kerana beliau pernah membawanya ke Parlimen sebelum ini.
"Kalau ini satu gimik politik sudah tentu ia akan menakutkan PAS sebab mungkin akan kehilangan undi orang bukan Islam.
"Tetapi ini tidak ada kaitan dengan pilihan raya sebab ia pernah dibawa
ke Parlimen pada tahun 1995 dan seingat saya titah ucapan Yang
di-Pertuan Agong sebelum ini pernah menyatakan perlunya peranan Mahkamah
Syariah dimartabatkan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.