SHAH ALAM: Exco kerajaan Kedah Datuk Dr Leong Yong Kong mengumumkan beliau keluar daripada MCA berkuat kuasa serta merta.
Keputusan itu dibuat sehari selepas kerajaan memberi laluan kepada PAS
untuk mebentangkan rang undang-undang persendirian bagi menambah
kuasa-kuasa Mahkamah Syariah di Parlimen.
"Saya mengumumkan berkuatkuasa serta merta, saya keluar daripada MCA
sehingga isu ini diperbaiki,” kata beliau pada sidang media di Sungei
Petani sebentar tadi.
Leong yang juga ADUN Gurun turut mengesahkan keputusan untuk keluar
daripada MCA dalam rakaman video yang dimuatkan oleh akhbar Oriental
Daily.
Video itu memetik Leong sebagai mempertikiakan tindakan kerajaan
memberi laluan kepada PAS mengusulkan rang undang-undang persendirian
itu.
Jika diluluskan, ia akan membolehkan kerajaan negeri pimpinan PAS di
Kelantan menunaikan janji untuk melaksanakan undang-undang hudud di
negeri itu.
Bagaimanapun Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta
perbahasan usul itu ditunda ke sesi Dewan Rakyat yang akan datang.
Ini bagi memberi masa untuk semua pihak membuat persediaan rapi untuk perbahasan berkenaan.
Leong berkata beliau mengambil keputusan keluar daripada MCA namun akan
membiarkan pucuk pimpinan Kedah dan parti menentukan kedudukannya
sebagai Exco kerajaan negeri.
MCA dan beberapa parti komponen Barisan Nasional semalam merakamkan
rasa kesal dengan tindakan memberi laluan kepada usul persendirian Hadi
itu.
Usul itu menuntut pindaan kepada kuasa-kuasa Mahkamah Syariah untuk
membolehkan kerajaan negeri Kelantan melaksanakan hukum hudud.
Pada masa ini Mahkamah Syariah hanya boleh mengenakan hukuman penjara
tidak lebih tiga tahun, denda maxima RM5,000 dan enam sebatan rotan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.