KUALA KANGSAR: Ketua Dewan Muslimat PAS Perak, Dr Najihatussalehah
Ahmad dipilih sebagai calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen
Kuala Kangsar.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan perkara
itu di padang berhampiran markas PAS Kuala Kangsar, Bukit Chandan di
sini malam ini.
Dr Najihatussalehah, 50, yang berasal dari Pasir Kubu, Pulau Tiga Kiri,
Pasir Salak memiliki Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan dari
Universiti Malaya dan pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan di
Hospital Kuala Lumpur.
Beliau juga merupakan Anggota Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat sesi 2015-2017.
PRK Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian Ahli Parlimennya Datuk
Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau,
Sarawak, 5 Mei lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun, manakala penamaan calon pada 5 Jun.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lepas, Wan Mohammad Khair-il memperoleh
majoriti 1,082 undi menewaskan calon PAS Khalil Idham Lim Abdullah dan
calon Bebas Datuk Kamilia Ibrahim.
Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 32,949 pemilih berdaftar melibatkan
pengundi biasa (32,632), pengundi awal (312) dan pemilih tidak hadir
luar negara (lima).
Calon BN bagi parlimen itu dijadual diumumkan petang esok oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sementara itu parti serpihan PAS, Parti Amanah Negara (PAN) dilaporkan akan mengumumkan calonnya pada 1 Jun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.