MALAYSIA DATELINE
Di
sebalik tirai besi, tiada siapa menyangka, kehadiran Ketua Umum PKR,
Datuk Seri Anwar Ibrahim membuka lembaran baharu kepada
penghuni-penghuni Penjara Sungai Buloh.
Sulaiman Ajik, 49 yang baru dibebaskan selepas dipenjara enam bulan
hadir ke pejabat Suara Keadilan berkongsi cerita dan pengalamannya
bersama Anwar.
Sulaiman dipetik berkata, kali pertama dia melihat Anwar di dalam sel waktu itu, dia cukup sayu dan sedih.
"Tidak dapat digambarkan bila seorang pemimpin seperti beliau meringkuk di penjara dalam keadaan sedemikian rupa.
“Tapi beliau tidak mudah patah semangat. Dalam penjara pun, beliau
selalu beri kata-kata semangat pada semua banduan-banduan lain,” kata
Sulaiman menceritakan detik-detik awal ketika melihat sosok tubuh
pemimpin berjiwa besar di hadapannya waktu itu lapor Suara Keadilan.
Sulaiman berkata, masa Anwar banyak dihabiskan dengan mentelaah buku agama dan membaca Al Quran.
Malah Anwar juga mengimamkan lebih 300 jemaah banduan dan petugas-petugas penjara serta menyampaikan tazkirah seusai solat.
“Beliau langsung tidak menyentuh isu politik, semua pengisian adalah
berbentuk nasihat dan bagaimana mahu menjadi manusia yang baik dan
berguna kepada manusia.
“Tetapi yang menariknya apabila Anwar memberi tazkirah, para banduan
seolah-olah terpaku dan sentiasa ternanti-nanti pada esoknya apa yang
ingin Anwar sampaikan,” katanya yang membenarnkan gambarnya dirakam
ketika temubual diadakan di pejabat PKR.
Sulaiman dipenjarakan atas dakwaan memiliki barang curi selepas
mendakwa dirinya diperdaya untuk membeli sebuah laptop daripada seorang
pelajar.
Menceritakan pengalamannya lebih lanjut, Sulaiman berkata keadaan sel penjara sangat menyeksakan bagi individu seusia Anwar.
Apatah lagi, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut menderita sakit belakang.
Mungkin selepas mendapat bantahan peguam, katanya, Anwar diberikan sebuah meja sebagai alas tempat tidur.
“Tetapi yang sedihnya hanya tilam nipis sebagai pengalas perbaringan.
Untuk bantal pula atas inisiatif banduan-banduan yang lain yang
mengumpulkan lipatan kain dan dimasukkan ke dalam sarung sebagai bantal
untuk Anwar tidur,” ceritanya sayu.
Dalam wawancara bersama Suara Keadilan, Sulaiman turut menceritakan
kegemaran Anwar menyanyikan lagu Azizah dan berpuisi ketika berada dalam
sel penjara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.