MALAYSIA DATELINE
Walaupun penyertaan beliau sebagai calon pilihan raya dipandang hina
oleh sesetengah pihak, namun calon Parti Amanah Negara (Amanah) bagi N26
Gedong, Rapelson Richard Hamit tidak terkesan dengan kata-kata
penghinaan itu.
Beliau sebaliknya menulis nota ringkas kepada pihak-pihak yang
merendah-rendahkan keupayaannya sebagai calon OKU (orang kelainan upaya)
yang menggalas cabaran Amanah dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak
ke-11 ini.
Dalam nota ringkasnya kepada para pengundi Rapelson menulis: "Salam sejahtera kepada pengundi-pengundi yang saya kasihi dan hormati.
"Saya dapat tahu ada kepen-kempen yang mengatakan saya tidak layak menjadi calon dan Adun kerana saya cacat.
"Saya mengucapkan terima kasih atas kata-kata itu. Dan saya tidak marah atau kecewa.
"Kecacatan ini anugerah Tuhan. Siapa yang kenal Tuhan mereka tidak akan pertikai pemberian Tuhan.
"Walaupun saya cacat tetapi saya tidak khianati rakyat. Bahkan saya telah membela rakyat.
"Bukan beribu ekar tanah yang saya kehendaki tetapi khidmat dan budi yang akan saya taburi. Tuan-tuanlah yang menilai saya.
"Ini kalilah... Undilah Parti Amanah." tulisnya.
Rapelson dilahirkan pada 13 April 1986 di Kuching, Sarawak.
Walaupun dilahirkan cacat, Rapelson membuktikan kekurangan fizikal tidak menghalangnya untuk mencapai kejayaan.
Berkelulusan Sarjana Muda Sains Sosial Dengan Kepujian (Kajian
Perancangan Dan Pengurusan Pembangunan) daripada Universiti Malaysia
Sarawak (Unimas), anak muda ini berkhidmat sebagai Gis And Remote
Sensing Officer.
Masa lapangnya tidak dibazirkan seperti manusia biasa yang lain.
Rapelson menghabiskan masa terluangnya sebagai aktivis hak asasi manusia
khususnya membela penghuni tanah adat negeri (NCR) yang diancam
pembangunan.
Seorang gurunya yang enggan dikenali menyifatkan Repelson di antara pelajar yang bijak.
"Apabila ditawarkan masa yang lebih untuk menjawab peperiksaan, dia
menolak. Katanya, 'saya akan jawab peperiksaan sebagaimana orang lain'.
"Dia tak merasakan perlu belas ehsan disebabkan keadaannya itu," ujar gurunya itu.
Bekas gurunya juga mengakui Repelson antara pelajar yang vokal dan tidak
hairanlah jika beliau menjadi begitu vokal dalam isu pemilikan tanah di
Sarawak.
Repelson juga mampu menulis laju dengan bantuan dua tangannya yang tidak berjari.
Malah dia boleh berdikari untuk ke mana-mana kerana mampu membawa kereta dengan baik tanpa bantuan sesiapa.
Mengulas penghinaan sesetengah pihak terhadap Repelson, Ketua Pemuda Amanah Terengganu, Hasbie Muda menulis:
"Terkejut saya bila ada ahli Pas pertikaikan tindakan Amanah calonkan
seorang OKU dalam PRN Sarawak. Diguna nas al qawwi al amin serta
petikan tulisan ulama untuk sokong hujahnya.
"Apakah dia lupa Almarhum Prof Zulkifli Muhammad bekas Timbalan YDP
Pas era Dr Burhanuddin Helmy dulu juga seorang OKU? Ada kecacatan pada
kaki dan tangannya kesan penyakit polio yang dihidapi sewaktu kecil.
"Prof Zulkifli dicalonkan untuk kerusi Bachok dan beliau menang.
Beliau muncul sebagai pemidato hebat di parlimen. Jasa beliau dikenang
sehingga hari ini.
"Mahu kritik pun berpada-padalah. Jangan selewengkan nas untuk menutup kejahilan kamu," tulis Hasbie.
Dalam PRN Sarawak 7 Mei ini, Rapelson menghadapi pertandingan tiga
penjuru dengan calon BN-PBB, Datuk Mohd Naroden Majais dan Uja ak Bansi
(Bebas).
N26 Gedong adalah kerusi baru dalam persempadanan semula kawasan
pilihan raya negeri Sarawak yang diluluskan Dewan Undangan Negeri tahun
lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.