KUALA NERUS: Jenazah empat sekeluarga yang ditemui rentung dalam sebuah
kereta di Kilometer 265.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan
selepas Terowong Menora, Perak pada Jumaat, selamat dikebumikan pagi
Sabtu.
Jenazah kesemua mereka disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah
Perkuburan Hajar Kampung Gong Awang Lib, Batu Rakit kira-kira pukul 8.20
pagi.
Sebelum itu, kesemua jenazah selamat tiba di Kampung Wakaf Tengah
kira-kira pukul 5.30 pagi dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak
sebelum disembahyangkan di Masjid Pantai Mengabang Telipot.
Lebih 200 orang termasuk Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman,
pegawai kanan Polis Kontinjen Terengganu, anggota keluarga dan rakan
taulan turut menziarahi anggota keluarga Ketua Polis Pahang Datuk
Sharifuddin Abd Ghani itu.
Awal pagi Jumaat, anggota keluarga berkenaan rentung dalam kemalangan
itu ketika dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur bagi mengambil
keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seorang daripada mangsa,
Muhammad Aizat Mohd. Azhar, 18, di Maktab Tentera Diraja (MTD), Sungai
Besi.
Mangsa lain adalah kakak Sharifuddin, Rosmani, 65, anak lelaki Rosmani
yang juga bapa kepada Muhammad Aizat, Mohd. Azhar Abdul Rahim, 43, serta
seorang lagi anak Mohd. Azhar, Muhammad Daniel, 13.
Keempat-empatnya ditemui kira-kira pukul 11 pagi Jumaat di bawah sebuah
lori yang terbabas dan terbakar ketika operasi mengalihkan lori yang
terlibat kemalangan pada pukul 1 pagi.
Sementara itu, suami Rosmani, Abdul Rahim Talib reda dengan kehilangan tragis empat anggota keluarga sekali gus.
Jelasnya penantian dan kegusaran mereka sejak lebih sehari menanti
khabar berita anak dan isterinya akhirnya terjawab dengan penemuan
kesemua mereka.
"Puas kami hubungi tapi gagal sehingga anak saya yang bertugas sebagai
Penolong Pegawai Memerintah Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja Kem
Bentong, Pahang membawa 12 anggota tentera mencari mereka di sekitar
lebuh raya hingga ke Taiping," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.