Sabtu, 26 Mac 2016

'Saya lega lepas jawatan MB tanpa gadai prinsip'

Abdul Khalid Ibrahim
Abdul Khalid Ibrahim


KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendedahkan merasa lega selepas melepaskan jawatan itu meskipun dengan cara digulingkan namun tanpa menggadai prinsipnya.

Akui berterima kasih dan bersyukur atas peluang yang diberi Pakatan Rakyat untuknya menerajui Selangor sebagai menteri besar pertama dari pakatan pembangkang di Selangor kerana memang hasratnya untuk membawa perubahan.

“Saya bernasib baik antara orang yang ada pengalaman sebagai pegawai dalam sektor pelaburan, Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad dan Kumpulan Guthrie Berhad iaitu antara syarikat perladangan yang terbesar di dunia.

“Jadi saya rasa pengalaman itu cukup penting untuk saya menyumbangkan pengalaman dan juga pemikiran saya,” katanya dalam wawancara khas bersama Sinar Online.

Mengulas lanjut, sehingga kini beliau masih berpegang kepada prinsip bahawa tanggungjawab seorang menteri besar serupa dengan ketua pegawai eksekutif syarikat iaitu menguruskan institusi dengan penuh tanggungjawab.

“Saya sangat bersyukur walaupun ramai orang kata saya terlalu terperinci kerana saya asyik menumpu untuk memberi sumbangan idea kepada kecekapan pentadbiran dan pembangunan ekonomi Selangor dan Malaysia, saya lupa tentang kencana politik.

"Maknanya saya tidak menjinakkan diri untuk berjinak-jinak, berkongsi-kongsi dengan orang-orang politik, tetapi selepas saya dapat lepas daripada jawatan, saya senang hati kerana saya tidak mengubah pendirian saya.

"Menteri besar perlu menguruskan negeri secara profesional dan tidak terkongkong dengan kencana politik. Dengan cara itu, punca-punca ekonomi rakyat Selangor akan diurus dengan baik dan juga dijaga,” katanya lagi.

Mengimbas tindakannya memberikan air percuma kepada rakyat negeri ini, beliau mendedahkan ada pihak yang tidak bersetuju ia diberikan kepada semua rakyat sebaliknya hanya perlu diberi kepada penyokong Pakatan Rakyat.

“Tapi saya kata, itu masa pilihan raya. Sekarang ini kita menjaga seluruh rakyat Selangor. Kalau kita beri kepada seluruh rakyat, kita adil kepada semua orang dan mereka akan percaya pada kita. Pada masa akan datang, mereka akan percaya kepada keupayaan dan kebolehan kita.

“Jadi, budaya yang berkelompok itu, saya ingin hapuskan sebagai satu tatacara mentadbir negara yang betul dan amanah. Budaya kita untuk mengasing-asingkan itu akan menyebabkan kita tak mencuba mengurus dengan adil untuk semua,” katanya.

Menurutnya lagi, beliau tidak melihat kalah mahupun menang dalam pilihan raya suatu kepentingan kerana ia terletak di tangan rakyat untuk menentukan.

“Yang kita nak menangkan ialah diri kita supaya kita diketahui menjaga tanggungjawab kita dengan penuh ketelusan. Pada saya itu paling penting bukan menang kalah. Saya tidak mengharapkan keuntungan atau kelebihan daripada politik kerana saya sudah cukup dahulu menjadi Ketua Eksekutif Guhtire...sudah cukup.

“Rumah saya ini dibina sebelum saya menjadi menteri besar, jadi, orang pun tak boleh nak kata. Kalau rumah ini dibuat selepas saya menjadi menteri besar, berbuih mulut semua orang,” katanya sambil tergelak kecil.

Beliau turut mendakwa tidak pernah dijanjikan jawatan ketika dipimpin bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mula-mula melangkah kaki ke dalam parti kira-kira sepuluh tahun lalu.

“Saya tidak juga mengatakan, ‘pilihlah saya menjadi menteri besar’. Tidak ada. Tapi saya berterima kasih kerana dapat menjadi menteri besar dan saya menjalankan tugas saya,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.