Sabtu, 26 Mac 2016

Lebih 1,000 kes cerai selesai melalui sistem baharu

mahkamah
Gambar hiasan.
 
 
SHAH ALAM – Lebih 1,000 kes perceraian telah berjaya diselesaikan oleh mahkamah syariah sejak institusi kehakiman itu melakukan perubahan dan penambahbaikan dalam pengendalian sistem mereka.

Ketua Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim berkata, usaha dan pemerkasaan yang dilakukan dibuat bagi membantu pasangan suami isteri dan keluarga mencari penyelesaian dalam keluarga.

“Jumlah itu (lebih 1,000 kes perceraian) adalah kes-kes yang tertunggak sebelum institusi mahkamah syariah melakukan pembaharuan dalam pentadbiran mereka.

“Proses perceraian antara pasangan berkahwin hanya mengambil masa sehingga enam jam. Tempoh masa singkat itu hanya berjalan sekiranya kedua pihak bersetuju untuk meneruskan perceraian,” katanya ketika ditemui Sinar Online selepas sidang media Seminar Keluarga Dalam Pelaksanaan Syariah 2016: Ke Arah Mahkamah Syariah Yang Mesra Keluarga, di sini, hari ini.

Selain berjaya menyelesaikan kes-kes perceraian menurut Che Asmah, institusi itu juga turut memastikan pembelaan hak terhadap isteri dan anak-anak dilakukan dengan betul dan bertepatan dengan syarak.

“Di mahkamah syariah, mereka telah melakukan banyak perubahan dan kami Wanita Ikram merasakan mahkamah syariah di Selangor telah jauh membuat perubahan ke hadapan di mana pengurusan pelaksanaannya mengatasi mahkamah sivil.

“Sebagai contoh, mahkamah syariah telah mewujudkan Seksyen Badan Sokongan Keluarga yang mana ia membela ibu-ibu tunggal di negara ini.

"Fungsi badan ini adalah untuk mendahulukan nafkah buat ibu tunggal ketika mahkamah menjejak dan mengarahkan suami menjelaskan nafkah menerusi potongan gaji atau lain-lain cara,” jelasnya lagi.

Mengulas mengenai seminar yang berlangsung pada hari ini, Che Asmah berkata, program hari ini dianjurkan bagi memperkenalkan dan mempromosikan pembaharuan dan pemerkasaan yang dilakukan oleh institusi kehakiman itu.

Tambah Che Asmah lagi, ia merupakan seminar yang pertama kali dianjurkan dan akan berjalan secara berperingkat di setiap negeri pada masa akan datang.

“Untuk sekian lama, masyarakat sering menuding jari dan menyalahkan mahkamah syariah daripada segi pelaksanaan syariah.  Segala kelemahan yang berlaku dalam institusi kehakiman itu dilihat sebagai satu kelemahan dalam agama Islam itu sendiri.

“Pemerkasaan mahkamah syariah secara langsung akan dapat memperlihatkan keindahan syiar Islam itu sendiri sebagai satu sistem kehidupan yang membawa penyelesaian terbaik kepada semua permasalahan kehidupan manusia,” katanya lagi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.