PUTRAJAYA - Tun Dr Mahathir Mohammad yakin penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi mampu menjadi penasihat yang baik kepada Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
Bekas perdana menteri itu berkata Abdullah merupakan calon yang cukup layak untuk menjadi penasihat kepada syarikat gas dan minyak milik kerajaan itu.
"Saya pasti Pak Lah (Abdullah) akan memberi nasihat yang bagus sekali kepada Petronas," katanya kepada media selepas Simposium Antarabangsa Kelab Menjenayahkan Peperangan (CWC) berjudul 'Gabungan Generasi Baharu - Katakan Tidak Kepada Peperangan', di sini hari ini.
Dr Mahathir berkata latar belakang Tun Abdullah yang pernah memegang tampuk ketua kerajaan adalah ciri yang dianggap sesuai untuk memegang jawatan penasihat tersebut.
"Perdana Menteri semua layak (untuk jawatan Penasihat Petronas)...termasuk saya pun," katanya.
Kabinet semalam bersetuju dengan pelantikan Abdullah sebagai Penasihat Petronas, berkuat kuasa 1 April ini menggantikan Dr Mahathir yang ditamatkan perkhidmatan sebagai Penasihat Petronas pada 11 Mac lepas.
Simposium tersebut diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini sempena ulang tahun ke-70 memperingati peristiwa pengeboman bom atom di Hiroshima dan Nagasaki di Jepun pada 1945.
“Kami tidak mahu sebarang peperangan nuklear dan tidak mahu insiden seperti ini berlaku semula...sebab itu kita nyatakan peperangan adalah satu jenayah,” kata Dr Mahathir. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.