Jumaat, 25 Mac 2016

Saman Tun M terhadap Najib 'tidak kemana' - Peguam

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Hasrat Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyaman Datuk Seri Najib Razak untuk menuntut ganti rugi akibat cuai dalam menjalankan tugasnya sebagai Perdana Menteri, 'tidak akan kemana'.
 
Peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berpandangan saman berjumlah RM2.6 juta yang difailkan semalam itu akan ditolak sebelum sempat ia dibicarakan.
 
"Tun M (Mahathir) memang berhak untuk menyaman. Namun untuk kes ini dibicarakan (bagaimanapun) meritnya di mahkamah, saya tidak rasa Tun M mempunyai 'locus standi'.
 
"Besar kemungkinan kes ini akan ditolak dari peringkat awal tanpa ia sempat mendengar merit kes ini (di mahkamah)," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
 
Mengulas mengenai locus standi, Mohd Khairul berkata Mahathir bukanlah individu yang terkesan secara langsung atas dakwaan yang dikemukakan terhadap Najib.
 
"Walaupun kelihatan tuntutan Tun M sebagai sesuatu yang logik dan berasas, tetapi beban pembuktian dan memenuhi keperluan undang-undang untuk meneruskan saman ini sangat berat dan sukar. 
 
"Hanya keajaiban yang memungkinkan ia boleh diteruskan sehingga ke peringkat perbicaraan penuh.
 
"'Locus standi' adalah hak untuk mengemukakan saman. Seseorang yang berhak untuk saman adalah seseorang yang terkesan secara langsung dengan sesuatu kejadian berkenaan. 
 
"Tun M mendakwa PM cuai dalam tugasnya, maka beliau kena buktikan kecuaian itu telah mendatangkan kesusahan dan kerugian secara langsung terhadap dirinya," kata Mohd Khairul lagi.
 
Hujah itu senada dengan reaksi yang diberikan oleh Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menyatakan Mahathir tidak mempunyai 'locus standi' untuk berbuat demikian.
 
Malah beliau juga menyifatkan tindakan Mahathir itu sekadar gimik untuk meraih publisiti.
 
Semalam Mahathir dan bekas ahli Wanita Umno Langkawi, Anina Saadudin dan bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan, Khairuddin Abu Hassan mengemukakan saman terhadap Najib.
 
Mereka mendakwa Najib melanggar kewajipan fidusiari dan misfeasans dalam jawatan awam, dengan didakwa mengkompromikan pelbagai siasatan terhadapnya berhubung dengan skandal 1MDB.
 
Ketiga-tiga individu ini, yang merupakan antara individu yang bersetuju dan menandatangani Deklarasi Rakyat untuk menyingkirkan Najib menuntut RM2.6 bilion sebagai ganti rugi teladan dan ganti rugi berpanjangan sebanyak RM42 juta.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.