BERNAMA
Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak
Kelantan (Kafa) Datuk Seri Dr Hasmiza Othman diberi amaran agar mematuhi
peraturan ketika berada di kawasan teknikal bagi menyaksikan perlawanan
membabitkan pasukan The Red Warriors.
Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability
Partnership (FMLLP) Kevin Ramalingam berkata terdapat beberapa peraturan
perlu dipatuhi ketika berada di bangku simpanan, termasuk memakai
pakaian berbeza daripada pemain yang beraksi di padang.
"Beliau perlu mematuhi peraturan di kawasan teknikal seperti elakkan
menggunakan telefon bimbit, pakaian tidak boleh sama dengan yang dipakai
oleh pemain di padang, itu sebab pemain yang berada di bangku simpanan
memakai bib agar tidak sama dengan rakan sepasukan yang sedang beraksi.
"Selain itu, beliau tidak boleh meninggalkan kawasan teknikal untuk
bertemu dengan penyokong dan perkara-perkara seumpama itu. Ia adalah
peraturan biasa dalam bola sepak yang perlu dipatuhi," katanya kepada
Bernama.
Hasmiza atau lebih dikenali Dr Vida, dikatakan berselfie bersama pemain di kawasan teknikal.
Kevin menegaskan bahawa Hasmiza mungkin tidak dibenarkan memasuki
kawasan teknikal jika terus melanggar peraturan-peraturan tersebut.
"Jika peraturan-peraturan itu tidak dipatuhi, maka kami tiada pilihan
bagi memastikan tiada sesiapa melanggar peraturan. Kami memang inginkan
sesuatu yang menghiburkan tetapi tidaklah sampai ke tahap ini, yang
menjejaskan peraturan," katanya.
Kevin berkata Dr Vida dibenarkan memasuki kawasan teknikal menerusi
pendaftaran oleh Kafa sebagai pegawai pasukan, dan FMLLP selaku entiti
swasta yang menguruskan Liga Malaysia (Liga M) sejak awal musim ini,
akur berdasarkan peraturan itu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.