BATU GAJAH: Seramai 37 orang menerima rawatan di Hospital Batu Gajah
(HBG) di sini semalam kerana mengalami muntah dan cirit birit dipercayai
selepas membeli makanan di sebuah gerai menjual di Siputeh dekat sini.
Daripada jumlah itu 30 daripadanya adalah lelaki manakala selebihnya adalah wanita.
Seramai 24 daripada mangsa dibenarkan keluar dari HBG kira-kira jam 5
petang selepas mendapatkan rawatan. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,
Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Integrasi Nasional negeri
Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata empat daripada mangsa yang dirawat di
HBG disahkan kritikal dan kini dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri
(HRPB) Ipoh berikutan 'Serum Cholinesferase level' mereka rendah.
Katanya, tujuh lagi masih mendapatkan rawatan lanjut di HBG bagi membolehkan pemantauan dijalankan.
"Siasatan awal mendapati semua mangsa dipercayai memakan makanan yang
tercemar dengan bahan kimia Organiphosphate dan siasatan lanjut
dijalankan di kawasan kilang berhampiran," katanya ketika melawat mangsa
di HBG di sini, hari ini.
Dr Mah berkata, kedai makanan berkenaan sudah diarahkan tutup dan pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan.
"Bagaimanapun kes berkenaan tiada kaitan dengan kebocoran gas dari
sebuah kilang seperti yang disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp dan
tiada mangsa dilaporkan meninggal dunia," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.