KUALA LUMPUR: Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad
(1MDB) yang dibentang kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC)
hari ini, diklasifikasi sebagai dokumen rahsia mengikut Akta Rahsia
Rasmi 1972.
Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin, berkata ketetapan itu dibuat oleh Ketua Audit Negara.
"PAC akur dan memahami keperluan tindakan diambil Jabatan Audit Negara
yang mengklasifikasikan laporan itu sebagai dokumen rahsia rasmi.
"Keputusan itu diambil berikutan ada maklumat dalam Laporan Interim
Pengauditan 1MDB yang dibentang kepada PAC pada Julai lalu, dibocorkan
pihak tidak bertanggungjawab secara berpilih hingga menjejaskan Jabatan
Audit Negara dan jawatankuasa ini.
"Sebagai jawatankuasa ditubuhkan di bawah Parlimen, adalah menjadi
keperluan mewujudkan pematuhan, akauntabiliti dan menghormati
undang-undang yang turut digubal institusi sama," katanya dalam satu
kenyataan, hari ini.
Hasan berkata, pihaknya akan meneliti laporan akhir itu bersama 10
prosiding terdahulu bagi melengkapkan laporan PAC berhubung Kawalan
Pengurusan Tadbir Urus 1MDB sebelum membentangkannya di Parlimen pada
bulan ini dan bulan depan.
Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sepatutnya dibentang pada 24 dan 25
Februari lalu, namun ditangguhkan kerana kebanyakan ahli PAC berada di
luar negara serta memiliki komitmen lain.
PAC memerlukan laporan akhir pengauditan terhadap syarikat pelaburan
strategik kerajaan itu untuk melengkapkan laporan, sebelum dibentangkan
di Parlimen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.