Sabtu, 5 Mac 2016

Kerajaan didakwa rancang kawal berita internet

 
Media yang tidak memihak kerajaan dijangka akan menghadapi tekanan yang lebih hebat menerusi kawalan lebih ketat dan tegas. 





KUALA LUMPUR: Mewajibkan setiap blog mendaftar dengan pihak berkuasa antara langkah yang didakwa akan dilakukan kerajaan untuk mengawal penggunaan berita internet di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Peguam Muda Majlis Peguam, Syahredzan Johan berkata, kerajaan juga akan meminda Akta Hasutan 1948 bagi membolehkan timbalan pendakwaraya mendapatkan arahan mahkamah supaya artikel atau laporan berita yang dianggap berunsur hasutan, dikeluarkan daripada mana-mana media.

Katanya, pindaan itu juga tidak memerlukan bukti yang mengatakan sesuatu berita itu menghasut sebaliknya cukup dengan hanya merasakan ia menghasut untuk diambil tindakan.

“Terdapat beberapa rang undang-undang lagi yang akan dibawa ke Parlimen bagi menyekat penggunaan internet termasuk pendaftaran blog dan sebagainya. Situasi akan menjadi lebih buruk,” katanya dalam forum Media Disekat, Demokrasi Nazak malam tadi.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa pula berkata, sebarang sekatan yang dilakukan kerajaan ketika ini terhadap pengamal media hanya dapat diubah melalui perubahan institusi yang diperjuangkan bersama-sama Tun Dr Mahathir Mohamad melalui Deklarasi Rakyat semalam.

“Kita mahukan perubahan institusi. Kami hanya mahukan Malaysia untuk semua orang. Kami tentang sekatan daripada kerajaan. Bila kami jadi kerajaan pastikan kami lakukan apa yang diperkatakan hari ini,” kata Mujahid yang juga salah seorang panel forum tersebut.

Forum berkenaan dianjurkan susulan sekatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap portal berita The Malaysian Insider (TMI) sebelum ini kerana menyiarkan laporan berita yang didakwa tidak mempunyai sumber yang sahih.

Turut menjadi panel dalam forum tersebut ialah, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar,Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran,bekas Ketua Pengarang Kumpulan NST, Tan Sri A Kadir Jasin dan pengasas Sarawak Report, Claire Rewcastle Brown dimana penyertaan beliau diadakan menerusi video Skype.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.