Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar diminta supaya tidak bertindak terburu-buru mengikut emosi berhubungan Kursus Kilat Marxisme anjuran Parti Sosialis Malaysia (PSM) dengan alasan kononnya ia membawa ideologi komunis.
Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Edry Faizal Yusof, berkata Khalid sebaliknya harus mengkaji terlebih dahulu alasan berkenaan dan memastikan apakah benar kursus yang sepatutnya diadakan pada bulan Mac ini mengajak supaya rakyat melakukan keganasan.
“Sememangnya apa saja berkaitan dengan komunis membawa trauma tersendiri buat anggota polis.
“Namun untuk terus menyekat majlis ilmu yang membincangkan idea-idea Marxisme hanya kerana idea itu pernah dianuti oleh komunis yang pihak polis anggap pengganas, merupakan tindakan terburu-buru.
“Ada baiknya pihak polis mendengar dahulu apa yang diajarkan, apakah ia benar-benar mengajak kepada melakukan keganasan atau kerosakan, sebelum terus terburu-buru menyekat atas alasan seolah-olah yang akan diajarkan itu adalah keganasan,” katanya dalam satu kenyataan.
Malangnya, beliau menambah, KPN lebih suka bermain dengan kuasa untuk menghalang apa sahaja yang tidak disukainya tanpa menyelidik dan menyiasat terlebih dahulu.
Khalid dalam satu kemas kini laman twitternya berkata, pihaknya tidak akan membenarkan PSM untuk mengadakan kursus berkenaan yang dijadualkan pada 20 Mac di Petaling Jaya dan akan memanggil pihak penganjur untuk disiasat.
Mengulas lanjut, Edry turut mempersoalkan adakah Khalid akan mengambil tindakan dengan menyekat pelbagai fahaman dan agama yang dianuti puak pelampau atau pengganas.
“Dewasa ini kita dapat lihat kumpulan pengganas menganuti pelbagai fahaman dan agama, adakah itu bermakna pihak polis mahu menyekat ke semua majlis berkaitan faham dan agama itu juga?
“Pihak polis sepatutnya lebih teliti dan menyiasat secara terperinci sebelum bertindak menyekat,” katanya.
Ironinya, kata Edry, fahaman komunisme yang sering dimomok sebagai kononnya ganas dan penindas itu diajarkan di institusi pengajian awam di negara ini dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, politik dan sains sosial, malah buku ideologi Marxisme juga mudah diperolehi.
“Lebih aneh melihat sikap cepat melatah Tan Sri Khalid apabila hakikatnya terdapat kursus-kursus politik di universiti-universiti sendiri mengajar sedikit sebanyak tentang Marxisme.
“Manakala buku-buku Marxisme boleh didapati dengan mudah di mana-mana kedai buku. Saya sendiri pernah membeli Communist Manifesto karangan Karl Marx dan Engels di sebuah kedai buku terkemuka Kuala Lumpur,” katanya.
Katanya lagi, polis sepatutnya tidak menyekat sebarang wacana di negara ini kerana melalui perbahasan seumpama itu pemikiran masyarakat akan lebih mudah berkembang, sekaligus berkemungkinan melahirkan sebuah alternatif bagi permasalahan ekonomi semasa.
“Wacana Marxisme dewasa ini dilihat lebih tertumpu kepada soal alternatif ekonomi dan kritikan terhadap sistem ekonomi kapitalisme yang sudah menjadi lumrah dalam masyarakat hari ini. Persaingan-persaingan idea sebegini sepatutnya digalakkan dan bukannya disekat.
“Hanya melaluinya, pemikiran masyarakat akan semakin berkembang dan matang. Moga melaluinya juga masyarakat mungkin menjumpai alternatif yang jauh lebih baik dari apa yang ditawarkan Karl Marx atau pendukung-pendukung ekonomi kapitalisme,” ujar beliau.
Menurutnya, polis perlu bertindak lebih profesional dengan membenarkan Kursus Kilat Marxisme dijalankan dan bukan bertindak berdasarkan emosi dan sentimen. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.