Isnin, 29 Februari 2016

Hutan simpan Selangor dalam bahaya



Oleh Nik Aziz Afiq


Awal bulan ini kita dikejutkan dengan sebuah kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur 2 Terengganu apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) terlanggar seekor harimau belang.Ramai yang bersimpati lebih-lebih lagi apabila harimau itu didapati bunting dan 2 ekor anak di dalam perutnya juga turut terkorban.

Peristiwa sebegitu dahsyat merupakan satu petanda bagi mereka yang mempunyai akal yang waras. Mesejnya mudah, alam semakin rosak kerana tangan kita.

Namun mesej begitu rupanya tidak dapat dicapai akal pemikiran kerajaan negeri Selangor. Tiada iktibar yang dipelajari dan kematian haiwan itu tidak dilihat sebagai apa-apa yang penting melainkan sekadar salah satu berita yang terselit dari senaskhah akhbar.

Pasti mereka tidak melihat peningkatan berkali ganda kematian Tapir Malaya yang dilanggar di jalanan sebagai satu musibah besar buat alam terutamanya bila Tapir Malaya berada dalam Senarai Merah Spesis Terancam dunia.

Kini Selangor dalam usaha merogol hutan simpan di beberapa kawasan seperti Ampang, Hulu Langat dan Gombak demi berdalilkan nama kemajuan.

Demi membina lebuhraya sekitar 30km lebih, maka ribuan spesis haiwan bakal kehilangan habitat dan pasti banyak lagi yang akan terkorban. Lebuhraya yang bernama East Klang Valley Expressaway (EKVE) ini hanyalah sebahagian kecil daripada projek mega Kuala Lumpur Outer Ring Road (KLORR) yang bertujuan mengurangkan kesesakan trafik di sekitar Lembah Klang.

Ketika memulakan operasi siasatan semalam di beberapa lokasi, alangkah tergamamnya saya dan pasukan bila sampai di Taman Rimba Ampang, sebuah taman rekreasi hutan di celah kesesakan bandar.

Saya tak pernah sampai ke situ dan bagai bermimpi melihat udara bersih di tengah kota pada jam 12 tengahari. Betapa sedihnya hati bila mengenangkan tempat ini akan hilang daripada peta kerana projek lebuhraya tersebut.

Projek untuk memusnahkan alam dijangka bermula tidak begitu lama memandangkan beberapa kerja awalan sudah dilakukan. Rata-rata penduduk juga mengatakan kekesalan bila hutan yang mempunyai sungai tempat rekreasi dan riadah itu bakal digondolkan tidak lama lagi.

Saya seorang yang naif. Selama ini saya percaya hutan yang digazet sebagai hutan simpan tidak boleh disentuh malah diusik walau atas apa nama sekalipun.

Semalam baru saya sedar rupanya maksud sebenar hutan simpan ialah hutan yang disimpan sehingga mendapat tawaran tertinggi dari pemaju kapitalis!

Ia disimpan kerajaan negeri bukan kerana ingin dipertahankan tetapi kerana ia belum digunakan lagi. Kini bila tiba masa untuk digunakan maka ciptalah nama ini dan nama itu untuk menghalalkan pembunuhan alam berskala besar.

Membina lebuhraya bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya adalah satu penipuan tahap rendah dan begitu dangkal. Ia tidak menyelesaikan masalah kerana kesesakan jalan raya akan berulang dan berulang lagi di masa depan.

Hanya kerana mengambil pil tahan sakit tidak bermakna penyakit itu hilang dan sembuh. Jika dibanding dengan negara maju mereka lebih banyak memperkasakan sistem pengangkutan awam sehingga tidak memiliki kereta itu bukanlah satu perkara yang aneh.

Berbeza dengan kita bila sebuah rumah kini sudah memiliki 2 kereta atau lebih dan trend ini akan sentiasa bertambah maka kesesakan jalan raya akan sentiasa berlaku.

Maka adakah untuk itu negeri ini perlu bertukar menjadi “negeri tar” dan kemudian mungkin berubah menjadi “negeri tar bertingkat” bila semua tanah dan hutan sudah menjadi lebuhraya?

Amatlah malang buat segenap isi rimba kerana mereka tidak boleh mengundi. Dunia pemerintahan hari ini hanya memfokuskan pada siapa yang mengundi dan siapa yang bagi derma untuk pilihan raya.

Jika jutaan serangga, ungags dan binatang lain yang berada dalam hutan simpan Ampang, Hulu Langat dan Gombak boleh mengundi maka pastinya negeri ini kembali diperintah manusia yang benar-benar manusia, bukan boneka patung keluaran kilang kapitalis.

Jalan rosak boleh diganti, hutan musnah mampukah kerajaan negeri Selangor cipta kembali?

Perang sudah bermula, sudikah anda bersama kami melawan habis-habisan demi khazanah alam termahal ini?

 * Penulis ialah ahli jawatankuasa Pusat Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.