Khamis, 31 Disember 2015

Vape: Kerajaan Kelantan beri tempoh sehingga penghujung Januari kosongkan premis

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KOTA BHARU: Kerajaan negeri memberi kelonggaran sehingga penghujung Januari depan kepada peniaga rokok elektronik atau vape untuk menghentikan perniagaan serta mengosongkan premis masing-masing.
 
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, keputusan itu diambil selepas perjumpaan antara pihaknya dengan Pertubuhan Peniaga Vape Melayu Malaysia (PPVMM) Kelantan.
 
Namun tegas beliau, notis pengharaman penjualan vape yang berkuat kuasa esok tidak akan ditarik balik.
 
"Selepas berbincang dengan pihak persatuan, mereka faham dan akur dengan arahan ini. Ini bermakna kita tetap akan laksanakan pemantauan dan pastikan peniaga mengambil tindakan sewajarnya bagi mengosongkan premis.
 
"Kita faham mereka memerlukan sedikit masa, maka dalam tempoh sebulan iaitu sehingga 31 Januari, tidak akan berlaku penyitaan. Arahan telah pun diberikan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tidak menyita premis terbabit," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Seminar Tertutup Perbandaran Islam: Pencapaian Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) Berdasarkan Pelan Induk 2006 - 2015, semalam.
 
Kerajaan negeri Kelantan sebelum ini mengharamkan penjualan vape berkuat kuasa 1 Januari dan mengeluarkan notis selama 14 hari kepada peniaga vape supaya menghentikan perniagaan dan mengosongkan premis masing-masing.
 
Tindakan tersebut mengundang rasa tidak puas hati golongan peniaga dan pengusaha vape, yang meminta kerajaan negeri memberi tempoh masa lebih lama untuk mereka menghabiskan jualan bagi mengelakkan kerugian yang lebih banyak. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.