KUALA LUMPUR: PAS akan mengarahkan kesemua ahlinya untuk menyertai
Demonstrasi Rakyat Bantah TPPA yang dijadualkan pada 23 Januari 2016 di
Dataran Merdeka.
Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki,
pendirian itu diambil PAS setelah diputuskan di Muktamar ke 61 lalu.
Ia bagi meneruskan bantahan terhadap kerajaan yang akan menandatangani
Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) itu tahun depan.
"Bagi pihak PAS berhubung isu TPPA ini, sudah dimaklumkan dalam
muktamar yang lepas, kita sebulat suara setuju dengan usul supaya
kerajaan tidak tandatangani TPPA.
"Muktamar PAS konsisten PAS tolak perjanjian TPPA, sebagaimana
dinyatakan dengan pihak lain. Ia beri kesan buruk bukan sahaja kepada
negara tetapi (beri) kesan kepada ekonomi," katanya di sidang media
Bantah TPPA di Kuala Lumpur hari ini.
Selain PAS, demonstrasi akan turut disertai Kongres Rakyat selain mendapat sokongan lebih 200 badan bukan kerajaan (NGO).
"Dengan menandatangani TPPA ini, ia akan timbulkan persaingan bermula
daripada ekonomi dan menjurus persaingan ketenteraan yang sekarang ini
pun dah berlaku antara China dan Amerika di wilayah Laut China Selatan,"
katanya lagi.
Demonstrasi perhimpunan aman yang dijangkakan dihadiri ribuan peserta
itu akan dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO) Bantah TPPA di Dataran
Merdeka.
Menurut Timbalan NGO Bantah TPPA, Azlan Awang demonstrasi itu akan
bermula jam 2 petang di Dataran Merdeka dan masih belum mendapat notis
kebenaran daripada mana-mana pihak berkuasa.
"Kami merancang untuk mengadakan sebuah demonstrasi aman pada 23
Januari ini dan kami harap rakyat akan bersama dengan kami untuk
menyuarakan tentangan terhadap TPPA sebelum ia dibahaskan di Parlimen,"
kata Azlan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.