KUALA LUMPUR,  Samada bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dipanggil atau tidak untuk diambil keterangan bergantung kepada siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.


“Soal hendak panggil Gani atau tidak terpulang kepada siasatan polis. Saya tidak boleh terangkan di sini,” katanya ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2016 Kementerian Dalam Negeri peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat di sini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen DAP-Puchong, Gobind Singh Deo samada kerajaan akan memanggil Abdul Gani untuk membantu siasatan terhadap kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya, Kevin Anthony Morais.

Ini ekoran pendedahan adik mendiang, Charles Suresh Morais, sebelum ini yang membuat akuan bersumpah (SD) mendakwa memiliki pen drive (pemacu pena) yang dikirim Kevin, melalui syarikat kurier, sebelum beliau dibunuh.

Charles dalam sidang medianya, sebelum ini dilaporkan mendakwa pembunuhan abangnya itu ada kaitan dengan kertas pertuduhan yang sedang beliau sediakan terhadap seorang “pegawai kanan kerajaan”.

Bagaimanapun, Charles meninggalkan negara Rabu lalu melalui Johor Baru, selepas membuat pengisytiharan akuan bersumpah (SD) di pejabat peguamnya, Americk Sidhu di Kuala Lumpur.

Gobind sebelum itu meminta kerajaan menyatakan sama ada akan memanggil Gani untuk bantu siasatan kerana kes tersebut melibatkan personaliti besar.

“Kemungkinan besar kes ini melibatkan personaliti yang besar. Tugas diberikan secara khusus untuk mengendalikan isu kertas siasatan itu,” katanya.