BERNAMA
Sazali bersama Maznah menunjukkan dapur rumah mereka yang runtuh, akibat banjir di Kampung Matang, pada Selasa. - Foto Bernama
HULU TERENGGANU, Kegembiraan sepasang suami isteri yang dapat pulang ke rumah selepas banjir hanya untuk seketika, apabila rumah yang sedang mereka bersihkan dengan tidak semena-mena runtuh di ruang dapur.
Sazali Rejab, 55, dan isterinya, Maznah
Mohd Amin, 47, sedang membersihkan rumah mereka di Kampung Matang, hari
ini, apabila mereka terdengar bunyi runtuhan.
“Saya dan isteri bergegas ke ruang dapur
untuk melihat apa yang terjadi, agak terkejut bila kami dapati dinding
dapur lompang dan roboh menyembah bumi.
“Dapur berserta alat-alat memasak
lain…semuanya musnah dan agak besar jugak lompang yang terbentuk,”
katanya ketika ditemui di kediamannya.
Sazali berkata, kejadian itu mungkin
disebabkan lokasi rumahnya yang berada di laluan air Sungai Telemong
yang melimpah, akibat hujan lebat, dua hari lalu.
“Saya
dan keluarga berpindah ke pusat pemindahan petang semalam, apabila air
banjir mula memasuki rumah sedalam lebih satu meter…bila cuaca dah baik
dan banjir pulih, saya pulang ke rumah pagi tadi untuk bersihkan rumah,”
katanya.
Sementara itu, Maznah berkata, beliau
pernah membuat permohonan untuk membaik pulih dan membina semula rumah
pusaka milik ibunya itu, sejak tiga tahun lalu, namun belum menerima
sebarang jawapan daripada pihak berwajib.
“Rumah ni sebenarnya dah lama, lebih
daripada 50 tahun dan saya ada mohon peruntukan untuk baikinya…tiap-tiap
tahun banjir bertambah buruk, tapi masih tiada jawapan sampai sekarang.
“Saya agak risau kalau runtuhan ni makin
besar dan melarat, sebab bahagian tandas pun macam tak kukuh, tapi nak
tak nak, kena guna juga tandas tersebut.
“Sekarang saya tak ada tempat nak memasak, sebab habis semua dapur musnah,” katanya.
Maznah berharap ada pihak yang tampil
membantu keluarganya untuk membina semula dapur berkenaan, disebabkan
keluarganya kurang berkemampuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.