KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), anak syarikat milik
penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), hari ini mengumumkan agihan
pendapatan sebanyak 6.10 sen seunit bagi Amanah Saham Nasional (ASN)
untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015, berbanding 6.45 sen
seunit yang diagihkan pada 2014.
Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata agihan pendapatan
itu membabitkan pembayaran sejumlah RM106.72 juta dan memberi manfaat
kepada 1.25 juta pemegang unit yang kini memiliki sejumlah 1.75 bilion
unit ASN.
"Sehingga 23 Disember, ASN mencatatkan pendapatan kasar sebanyak
RM126.27 juta," katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan agihan
dividen itu di sini hari ini. Daripada jumlah berkenaan, keuntungan
daripada jualan saham menyumbang 63.3 peratus, diikuti dengan pendapatan
dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat (28 peratus) dan
instrumen lain (8.7 peratus).
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Ekseutif PNB, Tan Sri Hamad
Kama Piah Che Othman berkata dividen yang lebih rendah itu disebabkan
oleh persekitaran ekonomi yang mencabar, seperti harga komoditi yang
rendah dan prestasi pasaran saham yang kurang memberangsangkan.
"Indek FTSE Bursa Malaysia KLCI telah mencatat penurunan sebanyak 5.5
peratus kepada 1,663.51 mata pada 23 Disember, 2015 daripada 1,761.25
mata pada 31 Disember, 2014," katanya. Agihan pendapatan akan dilaburkan
semula ke dalam unit tambahan ASN dan akan secara automatik dikreditkan
ke dalam buku pelaburan pemegang unit berdasarkan nilai bersih setakat
31 Disember 2015.
Pemegang unit boleh mengemas kini akaun ASN mereka bermula 4 Januari
2016 di mana-mana pejabat ASNB atau ejennya di seluruh negara.
Semua urus niaga ASN di ibu pejabat ASNB, pejabat atau ejennya
digantung pada 24 Disember tahun ini sehingga 3 Januari ini bagi
memudahkan pengiraan agihan pendapatan dan urus niaga boleh dijalankan
semula pada 4 Januari 2016.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.