MELAKA: Kerajaan menyasarkan kedatangan pelancong seramai 30.5 juta
orang yang menyumbang kira-kira RM103 bilion kepada pendapatan negara
tahun depan, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed
Nazri Abdul Aziz.
Beliau berkata sasaran berkenaan diyakini mampu dicapai menerusi
pelbagai program dan acara tahunan termasuk Majlis Rumah Terbuka
Malaysia yang dianjurkan bagi menyemarakkan acara pelancongan dan
kebudayaan di negara ini.
"Bidang pelancongan dan kebudayaan kini semakin berkembang dengan
berasaskan kepelbagaian bidang seperti pelancongan kesihatan, pendidikan
dan sebagainya namun tarikan pelancong adalah kepada destinasi yang
menarik dan bersejarah serta adat dan budaya sesebuah negara itu.
"Bagi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia majlis ini bukan
sahaja menjadi acara tahunan bagi sambutan perayaan Krismas dan tahun
baharu 2016 tetapi juga dapat menyemarakkan lagi industri pelancongan
dan kebudayaan khususnya di negeri Melaka," katanya ketika berucap pada
Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2015 di Dataran Memorial
Pengisytiharan Kemerdekaan di Bandar Hilir di sini, semalam
Majlis tersebut dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi dan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan
Sri Joseph Kurup dan Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron.
Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata keunikan dan kepelbagaian budaya
yang ada di Malaysia telah merealisasikan kempen Malaysia Year of
Festivals 2015 atau MyFEST2015 pada tahun ini yang bertemakan 'Endless
Celebrations'.
"Kempen ini bertujuan menonjolkan dan meraikan kepelbagaian budaya dan
kepelbagaian yang banyak terdapat di negara ini sebagai tarikan kepada
pelancong," katanya.
Beliau berkata kempen tersebut juga akan terus meningkatkan momentum
pertumbuhan industri pelancongan dan kebudayaan negara sebagaimana
kejayaan yang dicapai sepanjang tahun pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia
2014.
Sementara itu, Idris berkata sehingga Okt tahun ini negeri Melaka telah
berjaya merekodkan kedatangan pelancong berjumlah 12.5 juta dan ia
dijangka terus meningkat menjelang hujung tahun ini.
"Semalam saya menerima laporan tidak lebih 435,000 pelancong berkunjung ke Melaka dalam tempoh dua minggu ini.
Saya yakin dan percaya perancangan dan aktiviti termasuklah Majlis
Rumah Terbuka Malaysia Krismas ini, negeri Melaka bakal berjaya mencapai
sasarannya iaitu menarik seramai 16 juta pelancong pada tahun ini,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.