Isnin, 28 Disember 2015

Polis beri amaran belum terima notis demo bantah tol

Zikri Kamarulzaman  






Bantahan terhadap kenaikan tol pada ambang tahun baru 2016 yang beralih dari plaza tol Jalan Duta ke plaza tol Sungai Besi akan tetap menjadi suatu kesalahan jika pihak penganjur tidak memfailkan permohonan mereka.

"Jika mereka tidak mengemukakan permohonan untuk berhimpun, maka ini akan menjadi suatu kesalahan.
"Kami belum menerima permohonan daripada mereka, tetapi ada menerima maklumat (mengenai bantahan itu) dan sedang memantau," kata Ketua Polis Selangor, Datuk Abu Samah Mat ketika dihubungi Malaysiakini.

Abdu Samah berkata plaza tol Sungai Besi juga bukan merupakan lokasi yang sesuai untuk mengadakan bantahan.

Salah seorang pemimpin protes, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata kumpulan #ShutdownSungaiBesi telah cuba untuk memfailkan permohonan untuk mengadakan bantahan itu.

"Bagaimanapun, pegawai polis enggan menerima (permohonan) dengan alasan bahawa ia dihantar selepas waktu pejabat," kata Shazni.

Demonstrasi 31 Disember itu dijadualkan bermula pada jam 9 malam sebagai bantahan terhadap kemungkinan lapan lagi jalan bertol di Lembah Klang dinaikkan tahun depan.

Ia sebelum ini dijadualkan di plaza tol Duta, tetapi penganjur mengubah lokasi itu berikutan reaksi negatif hebat daripada pihak polis.

Dalam satu kenyataan hari ini, Shazni berkata lokasi baru itu sebenarnya lebih baik, kerana ia berhampiran laluan keluar, sekiranya berlaku sebarang kes kecemasan semasa protes.

"Pengguna jalan raya yang tidak mahu menyertai protes dinasihatkan supaya menjauhkan diri dari plaza tol Sungai Besi untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.