Isnin, 26 Oktober 2015

Anwar tarik balik rayuan untuk hadiri Sidang Dewan Rakyat

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
PUTRAJAYA: Bekas anggota Parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara, menarik balik rayuannya dalam usaha untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat dari 9 Mac hingga 9 April tahun ini.
 
Peguam mewakili Anwar, Latheefa Koya memaklumkan panel tiga anggota Mahkamah Rayuan hari ini berhubung penarikan balik rayuan itu.
 
Peguam M. Kogilambigai yang mewakili dua responden iaitu Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pesuruhjaya Penjara, tidak membantah permohonan itu.
 
Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid yang mempengerusikan panel itu kemudiannya membatalkan rayuan itu.
 
Turut bersidang ialah Hakim Vernon Ong Lam Kiat dan Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli.
 
Anwar, 68, memohon kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi membatalkan keputusan Ketua Pesuruhjaya Penjara tidak membenarkannya menghadiri mesyuarat pertama sesi ketiga sidang ke-13 Dewan Rakyat.
 
Pada 1 April tahun ini, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Asmabi Mohamad menolak permohonannya bagi kebenaran semakan kehakiman itu. Anwar kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan itu.
 
Dalam afidavit sokongannya, Anwar mendakwa beliau masih merupakan anggota Dewan Rakyat dan Ketua Pembangkang kerana petisyen bagi pengampunan diraja dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong masih belum diputuskan.
 
Pada 16 Mac, Lembaga Pengampunan menolak petisyennya bagi pengampunan terhadap sabitan meliwat dan beliau kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh.
 
Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb tahun ini, mengekalkan tempoh hukuman penjara Anwar bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008. Anwar memfailkan semakan berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan itu dan ia masih tertangguh.
 
Sementara itu, permohonan Anwar bagi mendapatkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyennya bagi pengampunan masih menunggu pendengaran di Mahkamah Tinggi.
 
Di luar mahkamah, Latheefa memberitahu pemberita, pihaknya memutuskan untuk menarik balik rayuan itu kerana perkara itu kini bersifat akademik kerana sidang Dewan Rakyat itu sudah berakhir.- BERNAMA
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.