KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) sedar mereka tidak mempunyai
sokongan akar umbi dan sukar untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU)
akan datang.
Justeru, tidak hairanlah parti terpaksa mempromosikan DAP semata-mata
mahu mengukuhkan kedudukannya dalam Pakatan Harapan (PH), kata Ketua
Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali.
"Pertama saya nampak memang parti serpihan PAS ini menjadi pengikut
kepada DAP, kerjanya mempromosi DAP dan memang tidak peliklah apabila
saudara Hj Salahuddin pun mempromosi Lim Guan Eng," katanya kepada
pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen pada Isnin.
Dalam
ceramah penerangan isu semasa anjuran Amanah pada Ahad, Timbalan
Presiden Amanah, Salahuddin Ayub dilapor mengangkat Setiausaha Agung
DAP, Lim Guan Eng sebagai tokoh misi menawan Putrajaya.
Salahuddun juga memuji Guan Eng sebagai pemimpin yang menjaga kebajikan orang Islam.
Namun Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus tidak bersetuju
dengan kenyataan itu dan berkata DAP tidak menyokong isu-isu yang
melibatkan agama Islam.
"Saya tidak merasakan orang Islam akan menyokong (DAP), Melayu tidak
akan menyokong DAP kerana DAP dilihat tidak menyokong isu-isu Islam,
tidak memberikan sesuatu yang positif.
"Cuba lihat ahli-ahli Parlimen DAP, saya tidak nampak mereka mesra pada Islam," katanya.
Khairuddin juga mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid
Abdul Samad bahawa beliau dan Presiden Amanah, Mohamed Sabu tidak berapa
yakin akan menang jika bertanding pada pilihan raya akan datang.
"Itu lemah semangat maknanya (apabila mereka kata mereka tidak akan
menang dalam pilihan raya akan datang). Kita sebagai orang politik perlu
kuat semangat dan tidak boleh lemah semangat.
"Jadi saya merasakan bahawa mereka tidak ada sokongan, saya sebutkan di
sini contohnya macam PKR yang begitu lama dalam politik pembangkang
yang lebih 10 tahun pun tidak mempunyai sokongan yang kuat di peringkat
akar umbi, jadi apakan lagi DAP dengan serpihan PAS ini, saya yakin
mereka tidak ada kekuatan di peringkat akar umbi," katanya lagi.
Amanah adalah parti serpihan yang digerakkan bekas pemimpin PAS yang tewas pada pemilihan parti Jun lalu.
Parti itu kemudiannya menyertai PH untuk menggantikan PAS.
"Yang keluar parti dan masuk parti serpihan ini (Amanah) biasanya
adalah kerana kecewa dan mereka akan kembali semula pada PAS, itu
sejarah yang lampau.
"PAS insya-Allah dengan apa yang berlaku baru-baru ini, saya lihat
apabila saya turun padang pun, sambutan orang ramai kepada PAS pun
begitu hangat, ahli-ahli PAS pun semakin bersemangat dan ramai golongan
atas pagar dan ahli Umno sendiri yang mereka tidak bersama Umno bahkan
bersama PAS," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.