shahbudindotcom
Berikutan
tindakan 13 Ketua UMNO Cawangan Teluk Kemang mengadakah sidang akhbar
bersama mendesak perletakan jawatan Najib Razak sebagai Perdana Menteri,
Ketua UMNO bahagian berkenaan yang juga Pengerusi Felda, Isa Samad
dilaporkan akan menghantar laporan kepada Jawatankuasa Disiplin agar
sesuatu tindakan dapat diambil terhadap mereka.
Meskipun
Isa memberi alasan mereka itu telah mencemar amalan membuat keputusan
secara kolektif yang selama ini dihormati, tetapi tentunya punca paling
utama "kemarahan" beliau sehingga mahu tindakan itu diambil ialah
kerana desakan itu berkaitan pengunduran Najib.
Tiada
sebab lain tindakan itu mahu diambil melainkan Isa merasakan namanya
sudah agar tercemar di mata Najib berikutan perbuatan 13 Ketua Cawangan
itu.
Lantaran
itu, sebagai tindak balas yang mudah ialah melaporkan kepada
Jawatankuasa Disiplin di mana jika mereka dipecat atau digantung
keahliannya, dapatlah Isa memberi gambaran bahawa UMNO Teluk Kemang yang
dipimpinnya sudah kembal solid, padu dan tidak berbelah bagi menyokong
serta mendokong Najib.
Jika
mereka terbabit membuat desakan lain seperti meminta Muhyiddin Yassin
dan Shafie Apdal meletakkan jawatan, atau mendesak Tun Mahathir keluar
UMNO misalnya, walaupun tidak dibuat secara kolektif, sudah pasti Isa
tidak akan melaporkannya kepada Jawatankuasa Disiplin.
Bahkan
tidak mustahil beliau akan mengatakan, itu merupakan hak mereka dan ia
kebebasan yang perlu dihormati dalam demokrasi UMNO.
Tetapi kerana itu menyentuh "pemimpin agung" yang sedang berkuasa, maka semuanya mahu dijadikan salah belaka. Itulah UMNO...
Soalnya,
adakah suatu kesalahan dan terdapat dalam perlembagaan parti bahawa
mendesak Perdana Menteri berundur merupakan perbuatan yang boleh diambil
tindakan?
Apakah juga tindakan mereka itu boleh dianggap mencemar UMNO sedangkan niat besarnya ialah untuk menyelamatkan masa depan parti?
Sehingga
ini, perdebatan dan perbualan mengenai salah atau tidaknya tindakan 13
Ketua UMNO Cawangan itu masih menjadi pertikaian di kalangan ahli dan
pemimpin UMNO sendiri.
Rata-rata
mengatakan tiada peruntukan khusus tentang perkara itu, tetapi boleh
ditafsirkan sebagai kesalahan kalau dimahukan demikian oleh mereka yang
berkuasa mengenainya.
Jika
tiada peruntukan khusus mengenainya, maka ada baiknya Jawatankuasa
Disiplin tidak melayan sama sekali aduan Isa Samad itu kerana jika semua
suara mahu disekat, UMNO akhirnya akan menjadi seperti "syarikat
sendirian berhad" saja.
Lagi
pun, kini bukanlah era seperti 70an atau 80an lagi di mana semua yang
diatas dianggap betul belaka dan tidak boleh ditegur sama sekali.
Yang
mustahak, haruslah disedari bahawa tidak mungkin sokongan 100 peratus
boleh diperolehi dan tindakan 13 Ketua Cawangan itu merupakan amaran
muhasabah diri kepada Najib dan juga Isa Samad.
Dalam
masa yang sama, jika mendesak Najib meletak jawatan mahu dianggap suatu
kesalahan, bagaimana pula dengan Jamal Mohd Yunus, Ketua UMNO Bahagian
Sungai Besar yang sudah acapkali membuat desakan yang sama kepada
Muhyiddin Yassin?
Tidakkah Jamal sepatutnya lebih dulu diambil tindakan?
Atau
adakah, dalam UMNO ini hanya mendesak pemimpin yang sedang berkuasa
saja merupakan suatu kesalahan manakala yang sudah habis kuasanya, apa
pun boleh saja?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.