MALAYSIAKINI
Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional Tan Sri Shahrir Abdul
Samad menyangkal dakwaan bahawa baru-baru ini bekas Presiden MIC Datuk
Seri G Palanivel dikatakan mahu menyertai parti DAP.
"Saya tidak percaya dengan cerita kalau kecewa, nak masuk DAP-lah,
masuk PKR-lah, PAS dan sebagainya, semua itu tidak betul. Itu semua saya
ingat warna-warni dalam pergolakan politik," kata beliau kepada
pemberita selepas majlis Kacau Dodol Perdana, di Johor Bahru petang
semalam.
Shahrir
yang juga anggota Parlimen Johor Bahru berkata perkara itu hanya
spekulasi yang tidak patut diada-adakan dan pihak yang ingin
menyelesaikan masalah tersebut harus bertenang.
"Kita nak selesaikan kebuntuan masalah MIC kena ada ketenangan, kebijaksanaan serta kewarasan," kata beliau.
Shahrir berkata sekiranya masalah itu diselesaikan dengan gelojoh, maka
akan merumitkan keadaan, tambahan lagi jika ada pihak yang
mengapi-apikan, ia akan membawa kepada masalah yang lebih serius.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan kononnya Palanivel
dikatakan ingin menyertai DAP setelah Menteri Sumber Asli dan Alam
Sekitar itu hilang keanggotaannya dalam MIC.
Sementara itu, bagi program Kacau Dodol Perdana, Shahrir berkata program
yang dianjurkan oleh UMNO Johor Bahru itu memberi peluang kepada
masyarakat merasai sendiri pengalaman membuat dodol.
Beliau berkata pembuatan dodol yang memerlukan pelaburan masa, tumpuan
dan fokus itu, akan turut dijadikan aktiviti tahunan bagi memeriahkan
bulan Ramadan sekali gus menghidupkan kembali tradisi di kampung.
Bagi program kali ini, sebanyak 13 kumpulan akan menghasilkan sejumlah
300 kilogram dodol dan bakal mengagihkan 600 bungkus dodol seberat
setengah kilogram setiap satu kepada orang ramai nanti. Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.