MALAYSIAKINI
Keputusan sama ada Jabatan Peguam Negara akan merayu terhadap keputusan
Mahkamah Tinggi Kuching berhubung arahan semakan semula persempadanan
bahagian pilihan raya negeri Sarawak dijangka diketahui minggu ini, kata
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.
Beliau berkata SPR menyerahkan kepada Jabatan Peguam Negara sama ada
untuk merayu keputusan pada 15 Mei lalu, yang mengarahkan SPR
mengeluarkan semula notis tentang persempadanan kawasan pilihan raya di
Sarawak dengan mematuhi peruntukan dalam Jadual 13 Perlembagaan
Persekutuan.
"Peguam Negaralah akan tentukan untuk rayu atau tidak... beliaulah yang
akan berhujah. Mungkin esok atau petang ini kita akan tahu (keputusan
merayu atau tidak)," katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah
Perkhidmatan Cemerlang 2014 dan Hari Inovasi SPR 2015 di Putrajaya
semalam.
Beliau berkata tindakan SPR selanjutnya bergantung kepada keputusan sama
ada rayuan akan difailkan atau tidak oleh Jabatan Peguam Negara.
Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata jumlah representasi bantahan sebanyak
86 yang diterima adalah yang tertinggi dalam sejarah mengendalikan
proses kajian semula persempadanan di Sarawak.
Beliau berkata representasi bantahan itu diterima pada pameran kali
pertama dan kedua dari pengundi di seluruh negeri termasuk kawasan
pedalaman seperti Baram, Serian, Simunjan, Saratok, Mukah, Kapit, Hulu
Rajang serta Sarikei.
Daripada jumlah itu, Abdul Aziz berkata, 51 representasi bantahan
memenuhi peruntukan seperti dalam notis Syor-syor Persempadanan Semula,
masing-masing bertarikh 5 Januari dan 30 Mac.
Proses kajian semula persempadanan mengambil masa kira-kira enam bulan
sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan pindaan
Undang-undang Perlembagaan Negeri Sarawak untuk pertambahan bilangan
kerusi DUN daripada 71 kepada 82, katanya.
"Kita sangat puas hati kerana ini menunjukkan notis yang dikeluarkan
oleh SPR difahami oleh orang ramai dan mesej pada notis itu sampai
kepada penduduk di kawasan terpencil yang terpaksa menaiki bot untuk
sampai," katanya.
Di majlis itu, sebanyak 58 warga kerja SPR menerima APC 2014, 65
memperoleh sijil kepujian manakala 31 lagi yang akan bersara tahun ini
menerima sijil persaraan.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.