OLEH V ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee
Abdullah yang memfailkan tuntutan saman fitnah terhadap Majlis Peguam
Malaysia dan 2 peguam kanan, diberi tempoh hingga Jumaat untuk menjawab
kepada pihak pembelaan.
Peguam Andrew Chiew yang mewakili Majlis Peguam dan bekas presidennya,
Christopher Leong berkata Hakim Datuk Asmabi Mohamed membuat perintah
itu dalam kamar susulan permohonan peguam Shafee.
Difahamkan permohonan semalam adalah lanjutan kali ketiga diberikan kepada Shafee.
Katanya, pengurusan kes sepatutnya diadakan pada 1 Jun dengan kemungkinan tarikh perbicaraan ditetapkan.
Chiew berkata Asmabi akan menyampaikan keputusannya pada 23 Jun sama
ada untuk melanjutkan lagi injunksi Shafee menghalang sebarang
perbincangan berhubung tindakannya ketika mengadakan jelajah susulan
sabitan kesalahan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada 31 Mac, Shafee yang diwakili Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin
memperoleh injunksi baru untuk memelihara tindakan anak guamnya terhadap
Majlis Peguam, Leong dan peguam Tommy Thomas dan Tan Sri V C George.
Shafee memfailkan tuntutan saman fitnah itu serta injunksi menghalang 4
individu itu daripada berbincang mengenai tindakannya ketika mesyuarat
agung tahunan (AGM) Majlis Peguam pada 14 Mac.
Beliau memperoleh perintah injunksi 21 hari secara ex-parte pada 13 Mac
untuk menghentikan peguam berkenaan daripada mendebatkan usul difailkan
oleh Thomas dan disokong George pada AGM itu.
Thomas dan George menggesa Majlis Peguam mengambil tindakan terhadap
Shafee kerana tindakannya susulan sabitan bersalah Mahkamah Persekutuan
ke atas Anwar.
Mereka berkata dari tempoh Mahkamah Persekutuan mensabitkan Anwar
bersalah pada 10 Februari, Shafee berkelakuan menjijikkan yang
menjejaskan kehormatan terhadap profesion guaman.
Shafee menyertai siri jelajah untuk berbincang mengenai keputusan
Mahkamah Persekutuan dan dikatakan bertindak mendedahkan bukti yang
diberikan secara tertutup di mahkamah ketika perbicaraan.
Dalam usul mereka yang diserahkan untuk AGM itu, 2 peguam kanan
berkenaan mendesak majlis membuat laporan polis terhadap Shafee dengan
Lembaga Disiplin Peguam Cara dan Peguam Bela.
Mereka berkata langkah seterusnya perlu diambil untuk menghalang Shafee membawa kehancuran kepada profesion guaman.
Shafee, yang dilantik oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail
untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes rayuan Liwat II, dituduh
dengan sengaja dan sewenang-wenangnya:
- Mengadakan sidang akhbar mengutuk Anwar yang tidak dapat memberi jawapan balas kerana sedang menjalani hukuman penjara;
- Mencari perhatian kepada kehebatannya, mendakwa sebagai pendakwa hebat;
- Merendahkan martabat Anwar dan pasukan peguamnya, dan pembelaan yang bergantung kepada prosiding mahkamah;
- Memberikan temu bual dengan media konvensional dan online mengenai pencapaiannya sebagai pendakwa; dan
- Menganjur serta menyertai siri jelajah seluruh negara dengan parti
politik, dengan tujuan menghina banduan dan menarik perhatian terhadap
peranannya dalam sabitan itu.
Shafee dikatakan melanggar Peraturan Profesion Guaman (Publisiti) 2001
yang melarang peguam daripada mempublisitikan diri mereka atau firma
mereka dalam apa juga cara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.