Jumaat, 29 Mei 2015
Pegawai ESSCOM sibuk bertaruh RM1,000 satu lubang?
Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Pegawai Pusat Kawalan Keselamatan Timur Sabah (ESSCOM) dipercayai bukan saja tidak menjalankan tugas mengawal perairan negara, malah ponteng kerja dengan bermain golf, berjudi dan menjalankan operasi di rumah urut.
Pengerusi DAP Sabah Jimmy Wong berkata, jika keadaan itu benar-benar berlaku, ia jelas merupakan antara penyebab utama mengapa projek bernilai RM600 juta gagal membendung pencerobohan dan aktiviti jenayah di perairan Sabah.
“Ada pihak mendakwa pegawai tinggi ESSCOM bermain golf pada waktu kerja dan bertaruh dalam permainan itu sebanyak RM1,000 setiap lubang di Lahad Datu.
“Mereka juga pernah menjalankan operasi di asrama pekerja rumah urut dan spa.
“Saya minta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi siasat dakwaan ini dengan serius,” katanya ketika dihubungi Roketkini.com.
(Baca berita berkaitan: RM600 juta tidak memadai kekang penceroboh di Sabah?)
Jimmy yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu menyatakan, berdasarkan aduan orang ramai, ESSCOM jugadituduh menerima rasuah daripada pekerja asing.
Katanya, ada majikan dan keluarga terpaksa membayar sebanyak RM500 hingga RM1,000 untuk membebaskan mereka.
“Ada juga pihak tertentu dalam ESSCOM telah menerima sogokan daripada pihak majikan supaya pekerja tanpa dokumen sah dapat dibebaskan.
“Dengan adanya elemen rasuah dalam operasi ESSCOM bagaimana keselamatan Sabah dapat dipelihara?” katanya.
DAP Sabah hari ini juga telah menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Parlimen bagi menyelesaikan krisis keselamatan di Pantai Timur negeri itu.
Memorandum telah diserahkan oleh Jimmy bersama Timbalan Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong Tien Fatt dan Naib Pengerusi DAP negeri Chan Foong Hin. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.