KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di Butterworth menangguhkan kepada 7 Mei
kes ceramah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabuberhubung isu komunis
Bukit Kepong pada Ogos 2011.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Maziah Mansor kepada
pemberita selepas kes itu disebut di hadapan Pendaftar Siti Sarah Abdul
Rahim hari ini.
Maziah memberitahu tarikh itu ditetapkan untuk mahkamah menyerahkan
nota keterangan kepada pihak pendakwaan dan pihak pembelaan bagi tujuan
hujahan.
Pada prosiding hari ini Mohamad, atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu,
dan peguamnya Mohamed Hanipa Maidin, tidak hadir di mahkamah kerana
dimaklumkan lebih awal.
Mohamad, 60, didakwa memfitnah anggota polis dan keluarga mereka yang
mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis
Bukit Kepong, Muar pada 23 Februari 1950 dengan membuat tohmahan yang
boleh merosakkan nama baik mereka.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu dalam ceramahnya di Pusat Asuhan
Tadika Islam (Pasti) Al Fahmi, Markas Tarbiyah PAS Padang Menora, Tasek
Gelugor dekat Butterworth pada 21 Ogos 2011.
Tertuduh juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu memfitnah tiga
anggota polis iaitu Konstabel Marin Abu Bakar Daud, Konstabel Jaafar
Hassan dan Yusoff Rono serta anggota keluarga mereka pada masa, tarikh
dan tempat yang sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa
hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit
kesalahan. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.