Isnin, 27 April 2015

PKR tidak segan gantung bendera parti sepanjang 'parit sampah'

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar

 
Post Pic
 
 
 
PERMATANG PAUH: Walaupun 17 tahun mempertahankan kemenangan di Permatang Pauh, PKR terus gagal menyelesaikan isu-isu tempatan di kawasan Parlimen itu.
 
Tinjauan Antarapos mendapati kawasan yang menjadi kubu kuat PKR yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim itu tidak diselenggara dengan baik dari segi kemudahan asas, infrastruktur jauh sekali pembangunan baru.
 
Sistem perparitan umpamanya amat mencuri perhatian kru Antarapos yang berkunjung ke sana beberapa hari awal sebelum hari penamaan calon diadakan, 25 April lalu.
 
Parit sepanjang Jalan Permatang Pauh, yang menghubungkan kawasan itu dengan beberapa bandar lain, seperti Bukit Mertajam dan Georgetown sangat daif keadaannya.
 
 
Ia dipenuhi dengan sampah sarap seperti botol minuman, kotak dan plastik. Malah ada diantaranya juga dipenuhi dengan lumut hijau dan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.
 
Penduduk di kawasan berdekatan memberitahu mereka sering berhadapan dengan banjir kilat ketika hujan berikutan kegagalan aliran air di sepanjang parit berkenaan.
 
Setiap kali banjir, sampah sarap akan melimpah sehingga ke jalan raya dan keadaan itu tentunya menimbulkan keadaan tidak selesa terhadap pengguna jalan raya.
 
Bau busuk juga mengganggu persekitaran Jalan Permatang Pauh itu yang berdekatan dengan kedai-kedai makan dan kawasan perumahan.
 
 
Antarapos diberitahu sudah banyak aduan disampaikan kepada wakil rakyat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) namun ia masih gagal diselesaikan.
 
Lebih memalukan, parit sepanjang satu kilometer tersebut terletak tidak jauh daripada Bilik Gerakan PKR Permatang Pauh, dengan jarak kurang 200 meter sahaja.
 
 
Bukan itu sahaja, ketika tinjauan dibuat, bendera PKR juga turut digantung di sepanjang parit tersebut, sebagai persiapan parti itu menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, 7 Mei depan.
 
Ini sekaligus menimbulkan persoalan, apakah wakil rakyat atau jentera parti termasuklah penyokong kuat PKR sudah 'lali' dan 'terbiasa' dengan pemandangan kotor sebegini atau sememangnya 'tidak sedar' dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka kerana terlalu berpolitik?
 
Apakah masalah parit tersumbat dan sampah sarap ini dianggap sebagai isu kecil yang tidak akan menenggelamkan isu ketidakadilan terhadap Ketua Umum PKR itu?
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.