BANGI: Majlis Syura Ulama akan terus menjadi 'check and balance'
(periksa dan imbang) dan badan induk berkecuali kepada PAS selain
menjadi penasihat kepadanya meskipun terpaksa berdepan dengan konflik.
Lantas Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din berkata badan induk itu
diwujudkan bagi memantau pergerakan parti berteras Islam itu agar tidak
terpesong daripada landasannya.
"Bila dasar PAS Islam dan pegangan tertingginya al-Quran dan as-sunnah
maka tentulah akan ada dalam perhitungan politik kita ada beberapa
keputusan yang akan berlaku.
"Bila keputusan itu kita lihat balik, adakah semua keputusan atau
langkah yang diambil dan yang nak dibuat sama ada bertepatan atau tidak
dengan kehendak syarak," katanya dalam temubual ekslusif bersama
Antarapos baru-baru ini.
Ujar beliau, Majlis Syura Ulama akan penelitian rapi sebelum membuat keputusan dengan berlandaskan kepada al-Quran dan sunnah.
"Itulah Syura, sebab itulah kita bermesyuarat hampir setiap bulan di
mana kita bincang apa yang tidak berlaku mungkin akan berlaku.
"Kita bincang apa yang telah dibuat dan betulkah tidak...dan Syura
Ulama telah menegur beberapa keputusan PAS yang dahulu yang semuanya
kita buat dalaman," katanya.
Untuk rekod, Majlis Syura Ulama PAS berkuasa menghurai, menjelas dan
mentafsir dasar PAS di mana-mana peruntukan di dalam perlembagaan parti
selain berperanan membuat ketetapan , mengeluarkan arahan dan perintah
supaya dasar dan ketetapan itu dipatuhi serta dilaksanakan oleh
mana-mana anggotanya.
Majlis Syura Ulama berfungsi sebagai badan yang memantau dan mengawal
agar perjuangan parti terus selari dengan syariat Islam, tidak
bercanggah dengan syarak.
Penubuhan Majlis Syura Ulama tidak lagi mahu melihat PAS membuat satu
keputusan yang dikuasai oleh individu atau puak tertentu dalam parti.
Majlis Syura pastikan keputusan dibuat pimpinan tidak bercanggah dengan syarak
Jelas Haron lagi, keputusan Majlis Syura Ulama berpegang teguh kepada
al-Quran, as-Sunnah, Qiyas dan Ijmak ulama menambah ahli serta
pimpinannya perlu akur kepada pendirian yang dibuat.
"Memastikan bahawa keputusan itu adalah bersesuaian dengan kehendak syarak dan tidak berlawan dengan al-Quran dan sunnah.
"Maka itulah kita akan teruskan check and balance, kita check dan kita
balance...kalau ada yang mulai keluar kita ubah daripada mula senang,"
katanya.
Kata pengamal perubatan Islam ini, Keingkaran ahli mematuhi keputusan
Majlis Syura Ulama PAS sebelum ini antara punca perbalahan dalaman parti
kerap berulang.
"Kalau jauh menyimpang dan terpesong jauh daripada Islam nak ajak balik
itu amat payah, selama ini pengalaman saya dalam Syura sampai sekarang
ini tidak ada lagi sesuatu yang jelas bertentangan yang tak boleh kita
balik semula kepada Islam.
"Atas itu saya merasakan bahawa ini akan terus kita pantau, beri
nasihat dan kita bimbing PAS ke arah menepati kehendak al-Quran dan
sunnah," katanya.
Mahu pastikan PAS terus berpegang kepada Islam
Ditanya mengenai pelantikannya sebagai Mursyidul Am PAS yang baru,
Haron berkata amanah tersebut akan dipikul sebaik mungkin selain mahu
memastikan parti itu terus berada di landasan yang betul.
"Saya telah diamanahkan untuk meneruskan perjuangan PAS dengan memegang
jawatan Mursyidul Am, sebelum ini telah lama saya berada dalam PAS
dalam jawatan Timbalan Mursyidul Am PAS.
"Saya merasakan bahawa amanah ini meskipun besar dan berat tapi kerana
sudah di sistemkan dalam PAS ada sebuah jawatankuasa yang dipanggil
sebagai Mursyidul Am yang di bawahnya ada anggota Syura.
"Syura Ulama yang mempunyai 17 orang ahli yang semuanya mengambil
tanggungjawab bersama-sama dengan Mursyidul Am bagi menentukan PAS
berada di atas landasan yang betul," katanya.
Tambah beliau, tanggungjawab itu akan digalas bersama anggota Majlis Syura Ulama.
"Untuk itu tidaklah saya merasakan begitu sukar kerana PAS mempunyai
sebuah perlembagaan yang di dalamnya amat nyata bahawa PAS adalah sebuah
parti Islam yang pegangan utamanya al-Quran, as-sunnah, ijmak dan qias.
"Kalau itulah pegangan kita maka selama-lamanya kita tidak akan
terpesong dan tergelincir walaupun berubah kepimpinan," katanya.
Justeru Haron melahirkan harapan yang tinggi agar ahli serta pimpinan
PAS memberikan kepercayaan kepadanya untuk menggalas tugas berkenaan
yang mana ia disandang Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik mat sebelum
ini.
"Manusia yang memimpin akan datang dam pergi tapi PAS dengan
perjuangannya yang telah menekankan tujuan besarnya untuk mewujudkan di
dalam Malaysia ini sebuah masyarakat yang terlaksana di dalamnya
nilai-nilai hidup Islam.
"Dengan pegangan itu saya merasakan bahawa saya hanya berkewajiban
besarnya memastikan PAS sentiasa berada di atas landasan yang betul dan
berpegang kepada al-Quran serta as-sunnah sebagai pegangannya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.