KUALA LUMPUR: Keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2014
menyaksikan peningkatan pencapaian calon dalam semua kriteria pengukuran
pencapaian calon dalam peperiksaan.
Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Profesor Datuk Dr Mohd Noh
Dalimin berkata, kriteria berkenaan adalah dari segi Purata Nilai Gred
Keseluruhan (PNGK) negara, peratusan calon yang mendapat PNGK 4.00, PNGK
3.50 ke atas, PNGK 2.00 hingga 3.49, peratus calon yang mendapat A
dalam lima dan empat mata pelajaran, peratus lulus penuh dan penurunan
peratus calon gagal.
"PNGK negara dalam peperiksaan STPM 2014 meningkat kepada 2.62 daripada 2.57 pada STPM tahun 2013.
"Min PNGK sekolah kerajaan meningkat daripada 2.55 pada tahun 2013
kepada 2.62 pada peperiksaan STPM 2014," katanya ketika mengumumkan
keputusan STPM 2014 di sini, hari ini.
PNGK 4.00 bagi STPM 2014 meningkat kepada 0.91 peratus atau 390 calon berbanding 0.89 peratus atau 492 calon pada STPM 2013.
Mohd Noh berkata, walaupun peratusan calon pada PNGK meningkat,
bilangan calon mengikut PNGK bagi 2014 berkurangan berbanding 2013
disebabkan kemerosotan bilangan calon yang mendaftar untuk menduduki
STPM 2014.
"Peratusan calon yang mendapat PGNK 3.50 ke atas juga meningkat kepada
9.09 peratus atau 3,895 calon berbanding 8.18 peratus atau 4,516 calon
dalam STPM 2013.
"Peningkatan peratusan juga telah ditunjukkan pada PNGK antara 2.00
hingga 3.49 iaitu kepada 73.85 peratus atau 31,647 calon berbanding STPM
2013," katanya.
Peratusan calon yang mendapat lulus penuh dalam lima hingga satu mata
pelajaran juga menunjukkan peningkatan 0.96 peratus iaitu 97.81 peratus
atau 41,915 calon berbanding 96.85 peratus atau 53,494 calon pada tahun
2013.
Bagi lulus penuh dalam empat mata pelajaran mendapat peratusan tertinggi tahun ini iaitu 63.80 peratus atau 27,342 calon.
"Sebanyak 10 calon yang mengambil lima mata pelajaran mendapat gred A
dalam kelima-lima mata pelajaran yang diambil, berbanding lapan calon
pada 2013.
"Manakala bilangan calon yang gagal menunjukkan penurunan iaitu hanya
57 calon (0.13 peratus) berbanding 112 calon (0.20 peratus) pada STPM
2013," katanya.
Sementara itu, Mohd Noh yang juga Naib Canselor Universiti Tun Hussein
Onn Malaysia berkata, daripada 23 mata pelajaran yang ditawarkan, 10
mata pelajaran menunjukkan peningkatan dalam prestasi lulus penuh iaitu
Bahasa Melayu, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Arab, Kesusasteraan
Melayu Komunikatif, Geografi, Ekonomi, Matematik Lanjutan, Teknologi
Maklumat dan Komunikasi dan Kimia.
Dua mata pelajaran mengalami penurunan prestasi lulus penuh iaitu
Kesusasteraan Inggeris dan Biologi manakala 11 lagi mata pelajaran tidak
berubah prestasinya.
Selain itu, Mohd Noh berkata jurang prestasi calon bandar dan luar
bandar didapati semakin mengecil dengan min PNGK calon bandar ialah 2.64
berbanding min PNGK luar bandar 2.54.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.