SHAH ALAM: Peluang MIC mahu mendapatkan semakan semula terhadap keputusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) daripada mahkamah adalah tipis, demikian menurut penganalisis politik, Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian.
Katanya, MIC perlu melihat bagaimana ia menafsir perlembagaan partinya dan pada masa yang sama bagaimana mereka mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh RoS.
"Peluang untuk kemenangan berpihak kepada MIC bergantung kepada sejauh mana MIC mempunyai keyakinan bahawa mereka mampu menukar apa sahaja keputusan yang dibuat RoS, sedangkan RoS sendiri sebelum ini cuba berkompromi agar ia tidak dibawa ke mahkamah kerana ada RoS mempunyai bukti yang boleh menyebabkan MIC tidak menerima keputusan yang mereka dimahukan," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
Hari ini Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel dan tiga lagi pemimpin parti memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman untuk mencabar keputusan RoS yang sebelum ini mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan semula beberapa jawatan, termasuklah timbalan presiden.
Permohonan itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi 24 Februari lalu, dan akan didengar pada 9 Mac depan.
Pada 6 Januari lalu, RoS mengeluarkan surat kepada MIC untuk menggesa parti itu mengadakan pemilihan semula dalam tempoh 30 hari, bahagian (60 hari) dan pusat (90 hari) (dari tarikh 31 Januari) adalah muktamad.
Susulan itu, pelbagai pihak termasuk Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi menggesa Palanivel untuk mengikut arahan RoS itu demi menamatkan perbalahan dalaman parti itu.
RoS juga mahukan parti itu dikelolakan oleh jawatankuasa pusat MIC penggal 2012, sekali gus mengundang kemarahan Palanivel yang menuduh badan itu bertindak melanggar perlembagaan MIC.
Sivamurugan dalam pada itu mempersoal tindakan 'u-turn' yang diambil Palanivel yang sekaligus mengingkari kesepakatan bersama yang dicapai antara MIC dan pemimpin utama Barisan Nasional (BN), termasuk Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Dalam konteks ini saya percaya banyak ruang diberi kepada MIC supaya pemilihan semula dilakukan malah pihak-pihak itu juga bersetuju. Namun mereka buat keputusan yang sebaliknya dari apa yang telah dipersetujui bersama PM, TPM dan pemimpin lain," ujarnya lagi.
Untuk rekod, RoS mengisytiharkan pemilihan parti itu sebagai terbatal dan tidak sah bagi tiga jawatan naib presiden dan 23 jawatan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang diadakan semasa perhimpunan agung MIC pada November 2013.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.