KUALA LUMPUR: Seniwati Neng Yatimah kini dikhabarkan semakin uzur sejak
kematian menantunya seniman Datuk Mustapha Maarof akhir tahun lepas.
Bintang air mata berusia 91 tahun ini turut mengalami masalah jantung dan kanser kolon.
Beliau atau nama sebenarnya Buntat Ahmad kini dijaga cucu saudaranya Isa Sawi di Singapura.
Menurut cucunya Azlynna Mustapha, setelah disahkan menghidap kanser,
neneknya telah beberapa kali menerima rawatan di hospital namun selepas
itu beliau enggan meneruskan rawatan susulan.
"Nenek kata dia tak nak (rasa) sakit setelah diberi rawatan susulan.
Dia ada beritahu untuk menghembuskan nafas terakhirnya di Singapura
seperti Allahyarham suaminya Jasni Ahmad yang dikebumikan di Singapura,"
katanya.
Menurut Azlynna, walaupun keluarganya telah beberapa kali meminta Mak
Neng (panggilan dalam keluarganya) menetap di Malaysia, namun beliau
menolak atas alasan ingin menghabiskan sisa hidupnya di Singapura.
"Mak Neng kini sudah berusia 91 tahun dan semakin uzur, keluarganya cuma mahukan dia menikmati hidupnya dengan baik," katanya.
Azlynna berkata ketika bapanya (Datuk Mustapha Maarof) meninggal dunia,
Mak Neng amat tertekan sehingga menjejaskan kesihatannya.
"Setelah kematian anaknya Allahyarham Roseyatimah, hubungan Mak Neng
dengan menantunya (Mustapha Maarof) amat rapat. Setiap kali bulan puasa,
arwah akan mengirimkan duit ke Singapura untuk ibu mentuanya itu,"
katanya.
Roseyatimah meninggal pada tahun 1987.
Neng Yatimah merupakan pelakon hebat filem Melayu tahun 1950-an dan
1960-an yang terkenal menerusi filem seperti Air Mata Duyung, Jiran
Sekampung, Laila Majnun, Seri Mersing, Racun Dunia dan Mama oh Mama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.