THE MALAYSIAN INSIDER
Bekas komando polis, Sirul Azhar Umar
tinggal di Brisbane bersama saudara dan anak lelakinya yang berusia 19
tahun sebelum dicekup pihak imigresen Australia, lapor media negara itu.
Sirul tiba di Australia pada Oktober tahun lalu dengan pasport dan visa pelancong serta tinggal di Ipswich, Queensland.
Sirul, 43, tidak hadir ke Mahkamah Persekutuan minggu lalu apabila
hakim mendapati dia bersama Azilah Hadri bersalah kerana membunuh model
warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.
Pihak berkuasa Australia menahan Sirul selepas Interpol mengeluarkan notis merah berikutan kesalahan yang dilakukannya.
Australian Broadcasting Corporation (ABC) melaporkan Sirul dipindahkan
ke bahagian keselamatan tertinggi di Pusat Tahanan Villawood di Sydney.
Sirul tidak bercakap kepada ahli keluarganya atau berjumpa peguam sejak ditahan, lapor media itu.
Bagaimanapun, akhbar bahasa Inggeris, New Straits Times (NST)
melaporkan semalam pihak berkuasa Australia membebaskan Sirul dengan
syarat pergerakannya di negara itu dipantau.
“Pasportnya ditahan tetapi pihak imigresen Australia membebaskannya
bersyarat termasuk tampil jika dikehendaki pihak berkuasa,” kata
jurucakap Wisma Putra kepada NST.
Seorang pengguna Facebook, Shuk Sz yang mendakwa anak kepada Sirul
berkata: “Jika saya hebahkan di media, Malaysia akan tumbang.”
“PM juga tumbang,” katanya. Namun akaun Facebook itu sudah dipadam, kata ABC.
Peguam Sirul, Kamarul Hisham Kamaruddin berkata kepada ABC satu
permohonan semakan kepada Mahkamah Persekutuan akan dilakukan dan beliau
akan menghalang permintaan ekstradisi dari Malaysia.
“Saya mempunyai mandat dari klien saya untuk mengambil langkah perundangan bagi mencabar ekstradisi,” katanya seperti dipetik.
ABC melaporkan peguam itu berkata pihak-pihak pendakwaan tidak pernah
memanggil saksi penting semasa perbicaraan yang menimbulkan spekulasi
campur tangan politik dalam kes tersebut.
Sirul dan Azilah bebas sejak 23 Ogos, 2013 apabila Mahkamah Rayuan mengetepikan hukuman bunuh mereka.
Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah mereka
dan menjatuhkan hukuman mati kepada kedua-keduanya minggu lepas.
Bukti mendedahkan Altantuya, seorang penterjemah, dibunuh sebelum
diledakkan dengan bom C4 pada 18 Oktober, 2006, di Shah Alam, berdekatan
dengan Kuala Lumpur.
Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, penasihat Datuk Seri
Najib Razak, didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul, tetapi
dibebaskan Mahkamah Tinggi pada 2008 tanpa dipanggil membela diri. Pihak
pendakwa tidak merayu terhadap pembebasan Razak.
Walaupun dengan sabit kesalahan, motif pembunuhan Altantuya masih tidak diketahui.
Undang-undang Australia menyatakan seorang yang berdepan dengan hukuman mati di negara asalnya tidak boleh diekstradisi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.