THE MALAYAIAN INSIDER
Bagi mencapai Wawasan
2020, Malaysia memerlukan kerajaan untuk bersedia kurangkan dan berhemah
dalam perbelanjaannya, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad.
Beliau berkata kerajaan perlu segera mengenal pasti dan menghentikan
projek dan peruntukan tidak perlu dan memberi keutamaan kepada projek
yang penting sahaja.
"Saya mencadangkan (kerajaan) agar lebih berhati-hati dalam
perbelanjaan. Kerajaan perlu meneliti sama ada apa yang ia belanjakan
sekarang adalah perlu. Banyak daripada peruntukan itu tidak perlu,"
katanya.
Dr Mahathir, yang juga Presiden Yayasan Keamanan Global Perdana berkata
demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Sumbangan Satu
Bilion Dollar untuk Pembinaan Semula
Gaza di Shaftsbury Asteria hari
ini.
Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
Selasa lepas kerajaan akan memotong perbelanjaan operasi sebanyak RM5.5
bilion kepada RM217.94 bilion. Jumlah itu bagaimanapun, tidak termasuk
sebarang perbelanjaan tambahan.
Katanya kerajaan membuat perancangan, dan dengan strategi yang betul
dan kerja keras, negara masih mampu mencapai status negara maju.
Dr Mahathir, yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun berkata
dengan peruntukan yang kurang akibat kejatuhan harga minyak global,
adalah penting bagi kerajaan untuk memotong perbelanjaan tidak perlu.
"Projek-projek perlu dikenal pasti dan potong sahaja peruntukannya.
Kita tahu yang kita tidak ada banyak wang, jadi kita mesti cari cara
untuk kurang berbelanja. Apabila kita kaya, kita buat macam orang kaya,
dan apabila kita miskin, kita perlu buat macam orang miskin," katanya.
Terdahulu dalam ucaptamanya, Dr Mahathir berkata beliau melihat wujud
reaksi hipokrit antara respons terhadap serangan terhadap majalah satira
Charlie Hebdo di Perancis, sedangkan negara-negara Barat tidak berbuat
apa-apa untuk menghentikan pembunuhan ribuan penduduk Palestin.
"Saya bersimpati dengan apa yang terjadi kepada kartunis berkenaan dan
saya mengutuk keganasan. Tetapi negara-negara Barat dilihat lupa tentang
kira-kira 200,000 orang yang dibunuh, rumah dan bandar mereka
dimusnahkan di Palestin dan Gaza.
"Sesetengahnya adalah bayi dan kanak-kanak manakala yang cedera
kebanyakannya orang tua.
Apabila beribu-ribu orang dibunuh, tiada siapa
di dunia barat bersedih ataupun menangisi nasib mereka," kata Dr
Mahathir.
Sehubungan itu, beliau menggesa negara-negara Islam untuk kekal bersatu
dan berjuang untuk kebebasan bersama, serta merumuskan strategi betul
untuk menamatkan penderitaan itu dan terus membantu pembinaan semula
Gaza.
"Kita dapat melihat perubahan kuasa apabila beberapa negara Eropah
mengiktiraf Palestin sebagai negara merdeka. Kita perlu memanfaatkan ini
dengan tidak menyebabkan mereka marah, sebaliknya pupuk persahabatan
supaya mereka membantu perjuangan kita dan menukar fikiran mereka,"
katanya.
Berhubung sumbangan, Dr Mahathir berkata sumbangan akan disalurkan
untuk pembinaan semula infrastruktur di Gaza termasuk sektor kesihatan,
perumahan, pertanian, air, pembetungan, bekalan elektrik, telekomunikasi
dan pembuatan.
Negara Arab dan Suruhanjaya Antarabangsa bagi Pembinaan Semula Gaza
bersama-sama dengan Persatuan Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia(MySET)
dan Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCare) akan bekerjasama dan
berkongsi pengetahuan dalam pembinaan semula Gaza bagi membolehkan
penduduknya mendapat peluang untuk membina semula kehidupan mereka. –
Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.