OLEH JAMILAH KAMARUDIN
Putrajaya bercadang merangka
kertas soalan peperiksaan sekolah secara elektronik bagi mengelak
insiden kertas soalan bocor berulang, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan berkata, perkara
itu merupakan salah satu cadangan dalam laporan penambahbaikan dan
pihaknya akan mengkaji sama ada ia boleh dilaksanakan di peringkat
sekolah.
"Ada sebahagian yang mencadangkan kertas soalan dibuat secara elektronik, berpengkalan di sekolah.
"Kita nak lihat, bolehkah ia dilaksanakan? Dan kalau boleh, bagaimana
untuk melakukannya?" katanya pada sidang media selepas merasmikan Menara
Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu di Lembah Pantai, Kuala
Lumpur hari ini.
Mengenai laporan hasil siasatan kebocoran kertas soalan Ujian
Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Muhyiddin berkata pihaknya akan
mengambil langkah sewajarnya secepat mungkin berhubung saranan yang
dikemukakan Jawatankuasa Bebas Mengkaji Pengurusan Peperiksaan Awam
Malaysia.
Katanya, ada saranan yang sudah mula dilaksanakan dan ada yang memerlukan kajian secara teliti.
"Sebahagian daripada yang dimasukkan dalam laporan sudah kita
laksanakan seperti pemasangan CCTV (kamera litar tertutup), perkuatkan
prosedur operasi standard (SOP) bilik kebal, cara soalan digubal,
dipilih dan dicetak," katanya.
Muhyiddin pada 21 Januari lalu menerima laporan akhir hasil siasatan
kebocoran kertas soalan UPSR 2014 daripada Pengerusi Jawatankuasa Bebas
Tun Zaki Azmi.
Laporan itu memuatkan 15 syor penambahbaikan peperiksaan awam di negara
ini yang melibatkan definisi serta proses kerja di peringkat
pengeluaran, operasi dan pengurusan.
Ia turut mengandungi analisis dan penilaian terhadap proses kerja dan
SOP pengurusan peperiksaan awam kendalian Lembaga Peperiksaan.
Jawatankuasa bebas itu ditubuhkan ekoran kes kebocoran soalan kertas
peperiksaan Sains dan Bahasa Inggeris UPSR tahun lalu sehingga
menyebabkan calon terpaksa menduduki semula peperiksaan itu.
Laporan itu juga mendapati bekas Pengarah Lembaga Peperiksaan, Dr
Na'imah Ishak dan bekas Timbalan Pengarah Operasinya, Dr Wan Ilias Wan
Salleh didapati tidak bersalah dan bebas daripada tuduhan menyebabkan
kertas soalan bocor.
Bagaimanapun Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata, mereka kini ditugaskan di tempat lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.