MALAYSIAKINI
Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dan timbalannya Datuk Seri Dr
S.Subramaniam akan 'berdiam diri' bagi menyelesaikan krisis dalaman
parti yang timbul berikutan arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya
diadakan pemilihan semula.
"Kami
akan mengadakan moratorium. Saya tidak mahu krisis parti menjadi
bertambah buruk," kata Palanivel dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau tidak menyatakan bila mereka berbuat demikian dan tempoh untuk berdiam diri itu.
Palanivel berkata moratorium itu akan memberikan peluang kepada beliau
dan Dr Subramaniam "suatu tempoh yang bukan dalam keadaan krisis untuk
menyelesaikan isu-isu yang berbangkit."
"Kami akan berjumpa dan berbincang mengenai tindakan seterusnya yang akan memuaskan hati semua pihak, secepat mungkin," katanya.
Palanivel berkata melalui moratorium itu akan membolehkan beliau dan Dr
Subramaniam berjumpa perdana menteri dan pengerusi Barisan Nasional
Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk mencari penyelesaian terbaik kepada
krisis parti.
Perbezaan pendapat timbul dalam MIC berikutan arahan ROS supaya parti
itu mengadakan pemilihan semula bagi tiga jawatan Naib Presiden dan 23
anggota jawatankuasa pusat (CWC).
Dalam surat bertarikh 5 Disember lepas, ROS mengarahkan jawatan tersebut
dipilih semula dalam tempoh 90 hari berikutan dakwaan wujud
penyelewengan dan perbuatan salah laku yang melanggar perlembagaan parti
dan Akta Pertubuhan dalam pemilihan yang diadakan semasa perhimpunan
agung parti itu di Melaka pada 30 November 2013.
Berikutan rayuan, RoS telah menghantar satu lagi surat melanjutkan
tempoh 90 hari kepada 120 bagi parti mengadakan pemilihan semula.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.