THE MALAYSIAN INSIDER
Sebanyak
RM610 juta kerugian dicatat dalam bencana banjir yang melanda Pahang
baru-baru ini berikutan kemusnahan harta benda, hasil pertanian dan
infrastruktur.
Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob (gambar, kanan) berkata dalam
bencana banjir terburuk selepas 1971 itu, sebanyak RM348.5 juta
kerugian dicatatkan daripada kerosakan infrastruktur melibatkan jalan
raya, jambatan dan kemudahan awam di negeri ini.
"Untuk sektor pertanian, kita mengalami kerugian lebih RM65.1 juta dan
sebanyak 219 rumah di tujuh daerah termasuk Jerantut, Kuantan, Lipis
dan Temerloh juga musnah dalam kejadian bencana alam itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan
bersama Mesyuarat Penyelarasan Pasca Banjir Negeri Pahang bersama
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
di Wisma Sri Pahang di Kuantan, hari ini.
Adnan berkata, kerajaan negeri akan memberi keutamaan untuk membina
rumah mangsa banjir yang musnah dengan seberapa segera melibatkan kos
antara RM40,000 hingga RM45,000 untuk setiap rumah.
"Kita akan mendapatkan bantuan daripada Kor Jurutera Diraja Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membantu bagi tujuan itu.
"Rumah yang terjejas teruk kita dimaklumkan mereka diberikan bantuan
RM10,000 dan kurang teruk sebanyak RM4,000 hingga RM5,000," katanya.
Katanya sepanjang tempoh banjir, kerajaan negeri membelanjakan sebanyak
RM3.5 juta juta bagi bantuan segera kepada mangsa banjir termasuk
makanan serta barangan keperluan selain RM3.1 juta yang disumbangkan
badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan.
Adnan berkata dalam masa yang sama kerajaan negeri itu juga bersiap
sedia menghadapi gelombang banjir ketiga yang diramal akan berlaku pada
bulan Mac nanti. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.