SHAH ALAM: Dewan Ulama PAS Selangor hari ini meluluskan usul mengecam
dan mengutuk tindakan dua ADUN parti itu, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan
Hasnul Baharuddin (Morib) berikutan tindakan kedua-dua mereka yang
'mendahului' pendirian parti berhubung krisis jawatan Menteri Besar.
Kedua-dua wakil rakyat PAS itu sebelum ini bertindak menandatangani
Akuan Bersumpah (Statutory Declaration) menyokong Presiden PKR, Datuk
Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor baharu
tanpa merujuk kepada parti terlebih dahulu.
Menurut kenyataan Dewan Ulama PAS Selangor, usul mengecam dan mengutuk
tindakan Saari dan Hasnul dipersetujui pada muktamarnya yang berlangsung
di Dewan Al-Munirah, Klang, hari ini.
"(Tindakan lanjut) diserahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib PAS Pusat
untuk mengambil tindakan ke atas ADUN berkenaan mengikut Fasal 82,
Perlembagaan PAS (Pindaan) 2011," jelas kenyataan itu.
Baru-baru ini, Hasnul Baharuddin dan Saari Sungib menyatakan sokongan
mereka secara terbuka kepada Wan Azizah untuk dilantik sebagai menteri
besar dalam satu sidang akhbar bersama Pakatan Rakyat.
Tindakan mereka itu menyaksikan Wan Azizah memperoleh sokongan daripada
30 ADUN lain bagi membolehkannya dilantik menggantikan Khalid.
Dalam pada itu juga, baki 13 ADUN PAS yang lain tidak akan
menandatangani akuan tersebut setelah Setiausaha Agung PAS, Datuk
Mustafa Ali memberitahu tiada keperluan untuk berbuat demikian.
Sementara itu, beberapa pimpinan tertinggi PAS Selangor dalam kenyataan
mereka sebelum ini berkata akan menyerahkan kepada PAS Pusat dalam
menentukan keputusan mengenai calon menteri besar negeri itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.