MALAYSIAKINI
Dua pelajar maut akibat dihempap sebatang pokok ketika masing-masing
menunggang motosikal di Jalan Pintasan Kuantan di Kuantan petang
semalam.
Seorang daripada mangsa ialah penunggang motosikal jenis Yamaha, Tun
Muhammad Fakharuddin Mohd Jaiilani, 19, berasal dari Taman Mutiara
Mahkota, Kuantan yang juga penuntut Kolej Komuniti Indera Mahkota di
Kuantan.
Seorang lagi mangsa adalah penunggang motosikal jenis Honda EX5,
Muhammad Lokman Hakim Ismail, 19, dari Sungai Isap Perdana di Kuantan,
iaitu pelajar Tingkatan 6 di sebuah sekolah menegah di Kuala Lipis.
Ketua Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang DSP Mohd Noor
Yusof Ali berkata, dalam kejadian jam 6.05 petang itu kedua-dua
penunggang terbabit disahkan mati di tempat kejadian.
"Kemalangan dipercayai berlaku semasa kedua-dua penunggang motosikal
terbabit yang melalui jalan tersebut dihempap sebatang pokok yang
tiba-tiba tumbang dari bahu sebelah kiri jalan.
"Akibat itu kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan, " katanya malam tadi.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat.
Sementara itu di Kangar, seorang wanita warga emas, anak perempuan dan
cucu lelakinya terbunuh apabila motosikal yang mereka naiki bertembung
sebuah kereta di persimpangan Kampung Bongor Kudung, Simpang Empat dekat
Kangar malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kangar Superintenden Abdul Rahman Mohd Noordin
berkata ketiga-tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan
jenazah mereka dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah untuk bedah siasat.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kereta Toyota Wish yang dipandu
seorang lelaki tidak berhenti di persimpangan terbabit sebelum
bertembung motosikal Yamaha Nouvo ditunggang Norlia Hashim, 42, dan
dibonceng ibunya, Puan Chik, 76, dan anaknya, Dzul Fikar Dulkafle, 10.
"Norlia, yang bekerja sebagai kerani di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda
(Mada) di pekan Simpang Empat, ibu dan anaknya cedera parah di bahagian
kepala," katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, seorang saksi, Safudan Husin, 19, berkata beliau terdengar dentuman kuat dan seretan pada kira-kira 7.30 malam.
"Saya berlari keluar dan ternampak tiga orang terbaring atas jalan,
motosikal jenis Yamaha Nouvo atas jalan manakala kereta Toyota Wish
terbabas di tepi jalan dengan bahagian hadapan bucu kanan remuk,"
katanya.
Rakannya, Mohd Anwar Zainol Abidin, 23, dan seorang wanita keluar
membantu mengalihkan mangsa yang tertiarap manakala seorang peniaga di
kawasan berdekatan menghubungi ambulans.
Ketiga-tiga mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di
Kampung Bongor Kudung selepas memancing ikan di kawasan sawah di
Serdang, yang terletak berdekatan kampung berkenaan.
Bernama difahamkan pemandu Toyota Wish, yang cedera ringan, adalah dari
Pahang dan datang ke Perlis untuk mendaftar masuk pelajar di Universiti
Malaysia Perlis (UniMAP) esok.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.