Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Bagi Malaysia, sebuah negara dengan populasi penduduk 28 juta, kabinet dianggotai 35 menteri penuh dan 27 timbalan menteri ‘begitu membusung’ kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Katanya, keadaan ini tidak munasabah dibandingkan dengan tiga negara yang mempunyai populasi lebih besar tetapi hanya mempunyai 23 menteri kabinet, seperti United Kingdom dengan 63 juta rakyat, Amerika Syarikat 313 juta rakyat, malahan India yang mempunyai 1.1 bilion penduduk.
“Atas dasar dan logik apa Malaysia yang mempunyai bilangan penduduk sedikit berbanding UK, USA dan India, tetapi mempunyai 50% lebih anggota kabinet? kata Guan eng dalam kenyataannya hari ini.
Tambahnya, lebih malang lagi apabila pelantikan mereka tidak disertai sebarang inisiatif dasar baru seperti melawan rasuah, mengisytiharkan harta para menteri secara terbuka atau menamatkan tender runding terus dan memberi laluan kepada sistem tender terbuka.
Selain itu, antara dasar yang gagal diupayakan termasuk penginstitusian dana tahunan untuk sekolah Cina dan Tamil, selain menumpukan sumber kepolisan untuk membanteras jenayah, agar rakyat bukan sahaja selamat, tetapi yakin mereka selamat.
Kata Guan Eng, pelantikan seorang menteri Kabinet dari Gerakan, dua Menteri Kabinet MCA dan tiga Timbalan Menteri MCA hanya ‘kejayaan peribadi’, sebaliknya menewaskan kepentingan umum serta prinsip terhadap jawatan politik selain kekuasaan Umno ke atas BN.
Tambahan, lantikan ke jawatan kosong tanpa portfolio sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri membuktikan pengaruh wakil MCA dan Gerakan terhadap dasar BN lebih kecil berbanding Perkasa.
Walaupun MCA mempunyai tujuh kerusi parlimen berbanding empat dimiliki MIC, parti itu memegang portfolio berpengaruh seperti Sumber Asli & Alam Sekitar dijawat oleh Datuk G. Palanivel, sementara Kementerian Kesihatan dipegang Datuk S Subramaniam.
“Orang ramai berharap supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekurang-kurangnya menggantikan beberapa menteri kabinet Umno untuk mengembalikan portfolio tradisional kepada MCA. Bagaimanapun, ini tidak berlaku,” kata Guan Eng.
Tambahnya, MCA tidak boleh mendakwa mereka diberi jumlah jawatan kabinet yang sedikit kerana mereka menang jumlah kerusi yang sedikit pada pilihanraya umum 2013.
“Walaupun MCA menyelamatkan Umno-BN daripada kekalahan pada pilihanraya umum 1999, bilangan jawatan menteri mereka tidak bertambah, malah kekal sebanyak empat jawatan.
“Jelas sekali MCA dilayan tidak lebih daripada pengemis politik dan memperolehi apa sahaja yang tersisa. Tidak dianugerah (jawatan) apabila menang besar, tidak pula dihormati apabila tewas,” kata Guan Eng.
Tambahnya, kemasukan semula MCA dan Gerakan ke dalam kabinet tidak akan membuat sebarang perubahan, sebaliknya hanya sandiwara politik yang bingit, ‘membantah di luar, tetapi menikus diam di dalam’.
“Jelas sekali dua MCA dan Gerakan tidak mengambil pelajaran daripada kekalahan mereka dalam pilihan raya 2013. Nampaknya tetap kembali kepada cara lama, tunduk patuh kepada kekuasaan Umno,” tegas Guan Eng – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.