Khamis, 1 Mei 2014

Beranikah Najib Terus Bertelagah Dengan Mahathir Mengenai Hudud?

shahbudindotcom


Pendirian UMNO yang berpendirian positif terhadap rancangan Pas Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud di negeri itu melalui usul persendirian yang dijangka dibentangkan tidak lama lagi, akhirnya menyebabkan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad menjadi semakin lantang mengkritik kerajaan pimpinan Najib Razak.

Dalam kritikan terbarunya, beliau berkata, usul hudud ini dihidupkan semula oleh Pas adalah kerana kerajaan sekarang terlalu lemah.

Ini katanya, berbeza dengan kerajaan sewaktu pimpinannya dahulu yang ssngat kuat dan memperolehi majoriti sangat besar sehingga usaha melaksanakan hukum itu dapat dihalang daripada dilaksanakan.

Berpegang kepada keyakinan bahawa hukum hudud yang mahu dilaksanakan oleh Pas itu tidak bersandarkan kepada keadilan yang sebenarnya, terutama berkaitan perbezaan hukuman antara orang Islam dan bukan Islam, Mahathir juga mengimbas bagaimana penentangannya terhadap usaha Pas itu akhirnya membuahkan kejayaan.

Ketika Pas mahu melaksanakan hukum hudud pada 1994, Mahathir telah menulis surat kepada Nik Aziz Nik Mat yang menjadi Menteri Besar Kelantan ketika itu yang antara lain berbunyi, "Kerajaan Pusat tidak dapat membenarkan kerajaan Pas Kelantan menjalankan sesuatu yang bercanggah dengan prinsip keadilan Islam, maka kerajaan Pusat akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap kerajaan Pas demi menjaga maruah dan ketinggian martabat Islam."

Betikutan surat tersebut, Kerajaan Pas Kelantan menangguhkan perlaksanaannya dan tidak pernah lagi membangkitkan usaha untuk menjalankan hukum hudud di negeri Kelantan dan Nik Aziz sendiri baru-baru ini mengakui bahawa beliau bimbang akan berlaku Mageran sekiranya beliau berkeras juga mahu melaksanakannya ketika itu.

Tetapi baru-baru ini Menteri Besar Kelantan yang baru, Ahmad Yaakob menunjukkan keazaman yang tinggi untuk melaksanakan hukum hudud yang sudah diluluskan oleh DUN Kelantan itu dengan rancangan mahu membentangkan usul persendirian di Parlimen bagi menjadikannya realiti.

Beberapa pemimpin UMNO Kelantan yang beraada di Parlimen seperti Tengku Razaleigh Hamzah dan Annuar Musa secara terbuka memberi sokongan kepada perlaksanaan hukum itu. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir juga turut menyatakan sokongan dengan menegaskan bahawa kerajaan Pusat sedia membantu mana-mana kerajaan negeri yang mahu melaksanakan hukum itu.

Najib dalam reaksi terbaru, walaupun beberapa tahun lalu pernah bertegas bahawa hukum hudud tidak akan dilaksanakan di negara ini, kini berubah nada dengan mengatakan banyak kekangan dan keutamaan yang perlu diselesaikan dan diperhalusi sebelum hukum hudud dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan matlamat hukum yang sebenar.

Tambah beliau lagi, terdapat perbezaan antara menolak hukum hudud dengan tidak melaksanakannya kerana kesulitan dan kekangan yang pelbagai.

Lebih menarik dari itu, Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang melawat Kelantan baru-baru ini turut mengambil kesempatan menziarahi Nik Aziz di rumahnya sambil memakai kopiah putih serta mencadangkan agar satu jawatankuasa bersama antara UMNO dan Pas dibentuk bagi mengkaji perlaksanaan hukum itu.

Walaupun Muhyiddin masih tidak mahu menyatakan sama ada UMNO akan menyokong usul pereendirian itu atau sebaliknya, yang nyata ada perubahan sikap lebih positif ditunjukkan oleh ramai pemimpin UMNO terhadap hukum hudud ini.

Mahathir yang jelas bimbang dengan perkembangan ini, kini dilihat semakin lantang mengkritik dan menyuarakan bantahannya terhadap usaha Pas itu. Beliau bukan saja mempertahankan pendiriannya bersandarkan konsep keadilan yang diyakininya, tetapi juga mula menempelak Najib kerana melayan cadangan Pas itu.

Sambil menegaskan kerajaan pimpinan Najib sebagai lemah, Mahathir berkata, "mungkin mereka ingat kerajaan perlukan sokongan sebab di zaman saya, kami berkuasa dengan majoriti dua pertiga".

Dengan menyifatkan kerajaan Najib sebagai lemah sehingga terpaksa mengharapkan sokongan Pas dengan cara memberi sokongan terlebih dahulu terhadap usul persendirian yang bajal dibentangkan Pas, Mahathir bukan saja menentang hudud yang mahu dilaksanakan di Kelantan, malah turut menghalakan serangannya terhadap Najib dan kerajaan.

Tidaklah mustshil sebenarnya, jila Najib dan UMNO terus bersikap positif terhadap perlaksanan hukum hudud ini, serangan Mahathir akan lebih dihalakan kepada Najib berbanding Pas. Najib akan diserang habis-habisan bukan saja kerana perubahan sikapnya yang positif terhadap hudud tetapi juga sebab pemimpin UMNO yang lain juga seperti sama positifnya terhadap hukum itu.

Soalnya, beranikah Najib bertelagah dengan Mahathir?

Sejak menjadi Perdana Menteri, bukanlah rahsia lagi bahawa perkara yang paling ditakuti oleh Najib ialah berbeza pendapat, apatah lagi bertelagah dengan Mahathir. Beliau bukan saja bersikap lembut dan menjaga hati Mahathir sejak dari awal, termasuk menjadikan anaknya Mukhriz sebagai MB Kedah, bahkan tidak berani mengulas banyak daripada kritikan bekas Perdana Menteri itu.

Najib lebih senang mendiamkan diri kepada banyak kritikan itu dan ia dipercayai untuk mengelak ianya disensasikan dan akhirnya mencetuskan perbalahan antaranya dengan Mahathir. Ini berbeza dengan Pak Lah, walaupun dikatakan lemah dan lembik, tetapi sejak awal berkuasa sudah menunjukkan keberanian untuk membuang pengaruh Mahathir dengan membatalkan projek keretapi berkembar dan jambatan bengkok yang sudah diluluskan oleh bekas Perdana Menteri itu serta membebaskan Anwar daripada penjara.

Masalah Pak Lah ialah beliau tidak cukup kuat untuk berlawan dengan Mahathir.

Episod yang berlaku kepada Pak Lah sedikit-sebanyak memberi pengajaran kepada Najib bahawa bertelagah dengan Mahathir bermakna mencari masalah.

Tetapi di sebalik beberapa kritikan Mahathir terhadap Najib yang berpunca daripada banyak kelemahannya dalam mengurus kerajaan ini sehingga negara menjadi semakin kalut dan kucar-kacir, isu hudud yang tiba-tiba muncul ini nampaknya mula menjurus ke arah serangan yang lebih keras dan lantang oleh Mahathir terhadap Najib.

Daripada menyalahkan hukum hudud versi Pas yang dipercayainya tidak bersandarkan keadilan, beliau kini menyalahkan Najib pula kerana melayan isu tersebut. Beliau juga seperti menyindir kerajaan Najib yang terpaksa mengharapkan sokongan daripada parti lain berbanding kerajaan pimpinannya dahulu yang sentiasa mendapat majoriti dua pertiga.

Melihat satu demi satu perkembangan isu hudud ini serta memahami karaktor Najib yang lebih lemah daripada Pak Lah, adalah diyakini beliau akhirnya akan tunduk kepada Mahathir. Najib tidak akan berani bertelagah dengan Mahathir, jauh sekali untuk memastikan sokongan Ahli-Ahli Parlimen UMNO terhadap usul persendirian Pas itu nanti.

Bagi Najib akhirnya, memastikan kedudukannya selamat dan kekal sebagai Perdana Menteri adalah lebih penting didahulukan daripada mengharapkan sokongan daripada pihak-pihak lain, termasuk Pas berkaitan hudud itu.

Untuk kesekian kalinya dan untuk tempoh yang tidak diketahui, hudud akan terus menjadi isu politik seperti buiy-buiy di lautan,ada ketikanya ia muncul dan ada ketikanya ia menghilang begitu saja

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.