Rabu, 26 Mac 2014

MH370: Selangor kaji bentuk bantuan untuk keluarga mangsa

Oleh: NAZLI IBRAHIM


SHAH ALAM,: Kerajaan Selangor akan mengkaji bentuk bantuan kebajikan yang boleh disalurkan kepada keluarga anak kapal dan penumpang pesawat MH370 yang dilaporkan berakhir di Lautan Hindi, pada 24 Mac lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata beliau berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi liar berhubung tragedi berkenaan sehingga melukakan perasaan mereka yang sedang meratapi kehilangan orang tersayang.

IMG_3853 copy“Kerajaan Negeri merancang mengkaji bantuan kebajikan mereka, khususnya anak kapal MH370 yang berasal dari Selangor. Namun, pada masa ini kita mesti berikan ruang secukupnya kepada keluarga terbabit dan mahu mereka tahu kita bersama mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan Setiasusaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, hari ini.

Pada 24 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penerbangan pesawat MH370 berakhir di Selatan Lautan Hindi selepas beliau dimaklumkan wakil Cawangan Siasatan Nahas Udara (AAIB) dari Britain.

Penemuan itu, sekali gus mengakhiri pencarian selama 17 hari dengan membabitkan gerakan besar-besaran dan bantuan pelbagai negara luar.

Ketika ini, pencarian diteruskan dengan fasa mencari kotak hitam yang mampu merungkai mesteri kehilangan pesawat malang terbabit.-NFN-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.