Selasa, 27 Ogos 2013

Akidah Syiah bukan satu-satunya yang cemaskan akidah umat



Oleh SUBKY ABDUL LATIF

ADAKAH akidah Mukhriz Mahathir, Menteri Besar Kedah lebih jelas daripada akidah ayahnya hanya Tuhan yang mengetahui, tetapi dia telah mencetuskan gerakan berwaspada terhadap pengaruh Syiah di kalangan rakyat Malaysia.

Kewaspadaan itu di kalangan sesetengah pemberi tazkirah maghrib di surau dan masjid tetapi tidak pernah dijadikan isu politik oleh orang-orang politik. Ia terpendam sebagai isu akidah bagi orang Islam. Bagi penganut tegar mazhab Syafie bukan saja tolak akidah Syiah, malah penyebaran Wahabi dan Salafi pun mereka pertikai.

Sebelum isu Syiah dan Wahabi ini berbangkit, sejak lebih 80 tahun lalu pengikut Syafie berperang dengan saudara-saudara dari Indonesia yang cuba memperkenalkan pemikiran Muhamadiah kerana ia membawa fahaman kaum muda.

Polemik kaum muda dan kaum tua ini masih menjalan di Selatan Thailand. Sepuluh tahun lalu jabatan pengajian Islam universiti di wilayah itu mengundang Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika itu sebagai Menteri Besar Kelantan memberi ucapan tentang pemikiran mazhab Syafie.

Beliau ditanya di majlis itu tentang rahsia umat Islam Malaysia dapat membendung perang kaum muda dan kaum tua? Jawabnya, rahsianya kerana ada Umno yang dikatakannya menolak pelaksanaan Islam. Justeru mereka menghadapi karenah Umno itu, maka kedua-dua kaum muda dan kaum tua yang sama-sama mahukan Islam, maka mereka tidak bergocoh lagi tentang kaum tua dan kaum muda.

Malah penganut tegar Imam Syafie itu tidak menggalakkan sesama mereka solat dan berimamkan mazhab Hanafi dan Hambali. Mereka hanya berimamkan orang Wahabi semasa haji dan umrah di Makkah dan ketika berada di Madinah saja. Maka jauh sekalilah mereka beramal dengan ajaran Syiah.

Apa yang memungkin orang Melayu terperangkap dengan ajaran Syiah itu ialah adakah perkembangan liberal teerhadap mazhab di kalangan penganut Imam Syafie yang pulang dari Indonesia dan Timur Tengah berfahaman tanpa mazhab. Manakala yang masuk sekolah agama dalam negeri dan yang pulang dari Barat menjadi sekular tegar tang-tang-tang.

Ulama mazhab Syafie pula asyik mengajar tentang haid dan nifas, tidak peka dengan penjajahan pemikiran politik terhadap pemimpin Saudi, Mesir dan negara lain yang melutut kepada Amerika, tidak lagi sensitif atas penderitaan Palestin. Tengah-tengah orang marahkan Amerika dan Israel ini datanglah orang Syiah yang mencanangkan kejayaan Syiah dan Revolusi Islam Iran menentang Amerika dan istiqamah mengganyang Israel.

Orang Sunni menentang parti Islam di mana saja dan seronok bersama Amerika dan pelabur Barat, orang Syiah menyokong gerakan Islam dan menentang Amerika/Israel. Penyebar Syiah pun menunjukkan apa yang Syiah dan Iran buat untuk menentang muustakbirin Amerika. Maka bagaimana kita hendak marah Syiah apabila orang Melayu masuk Syiah?

 Para mufti hanya kata Syiah tak betul tetapi tidak buat apa untuk mengajak orang Sunni menegak negara dan pemerintahan Islam. Syiah ajak orang Islam tegakkan negara Islam.

 Sekarang orang Melayu sudah bukan lagi bermazhab Syafie saja, bahkan sudah ada bermazhab Syiah. Dan ada yang mengatakan ada pemimpin PAS yang menjadi Syiah, malah ada yang sedia mendedahkannya.
Dan PAS menafikan ada orangnya jadi Syiah. Ternyata cetusan Mukhriz di Kedah itu telah menyeret PAS dalam polemik Syiah. Dan PAS akan diseret lama oleh isu ini hingga ke PRU yang akan datang PAS akan diserang dengan isu ini dan PAS akan sentiasa defensif.

 Sebagaimana Umno di zaman Tunku Abdul Rahman dan Dr. Mahathir pernah kata PAS bekerjasama dengan komunis, walaupun PAS anjur gerakan baca Yasin bagi menolak fitnah itu, tidak mudah bagi PAS memadamkan persepsi rakyat yang termakan dengan mainan politik Umno itu. Sekarang ia ada modal baru, ketika sekalian umat Islam menentang Syiah sekarang, maka mereka akan kambing-hitamkan PAS.
 
PAS akan penat dan habis masa untuk menafikan orang ini bukan Syiah dan orang itu bukan Syiah. Apa yang PAS boleh buat ialah menyerahkan kepada kerajaan untuk bertindak dan buktikan orang itu Syiah dan orang ini Syiah. Dan kemudian beri jawapan dan pembelaan atas dakwaan dan tindakan itu.

 Saya adalah pemimpin PAS pertama bersama Dato' Abu Bakar Chik menjadi tetamu Iran empat bulan sebelum Anwar Ibrahim masuk Umno. Saya pergi dalam keadaan saya tahu saya tidak sama akidah dengan Syiah. Yang sama ialah kami mahu mendaulatkan Islam. Syiah mahu laksanakan Iran sebagai republik Islam Syiah, saya bersama PAS mahu laksanakan Islam Sunni di Malaysia.
 
Saya dengar orang Iran melaung slogan Khomeini Rahbar. Saya tanya Rahbar itu apa. Mereka jawab Rahbar itu ertinya pemimpin/penganjur. Saya ambil Rahbar sebagai nama anak saya. Saya ambil nama tetapi tidak ambil akidahnya. Saya hantar anak saya belajar Quran di Turki. Saya tengok kalimah Rehber dalam iklan Turki. Saya tanya maksud Rehber? Mereka kata ertinya pemimpin atau pembawa petunjuk. Ia nama Syiah dan anak saya tidak jadi Syiah.

 PAS tidak berbalah dengan Syiah dan Iran sekalipun tidak sama akidah, tetapi hubungan itu adalah menguatkan kerjasama melawan propaganda Amerika dan Barat dan bersama menentang sekularisme, liberalisme dan pluralisme.
 
Antara yang awal melawat Iran balik meniru ceramah Iran memekik kata, Takbir! Seklain yang hadir serentak menyambut ‘Allahu Akbar.’ Di mana-mana ceramah PAS itu orang pekik takbir, orang ramai serentak sambut ‘Allahu Akbar.’ Ia tiru orang Iran dan Syiah tetapi bawa balik Syiah.

 Sekalipun akidah kedua-duanya tidak sama tetapi segi politik dan diplomasinya, PAS mengadakan tahaluf siasi dengan parti yang tidak sama ideologi seperti DAP. Akidah mereka ada yang Buddha, Hindu dan Kristian. Dengan tahaluf itu tidak pula ada orang PAS masuk Hindu, Buddha atau Kristian.

 Kalau PAS boleh tahaluf dengan parti politik orang Buddha, Hindu dan Kristian yang tidak sama akidah, maka kerjasama politik dengan orang Syiah Iran yang tidak sama akidah tidak menjadi perkara yang salah.
Tok Guru Haji Hadi Awang dan Tok Guru Nik Abdul Aziz rapat dengan ulama Iran satu kesempatan diplomasi politik dan tidak pernah berbincang tentang pertukaran akidah. Mereka ke Iran bagi menyampaikan ucapan dan pandangan tentang isu dalam dunia Islam dan bagi myatakan apa yang PAS dan rakyat Malaysia tentang sesuatu perkara.

 Tidak pernah mereka dalam kuliah di Masjid Rusila dan di Pejabat Perhubungan PAS Kelantan menyebarkan ajaran Syiah. Jika ada yang masuk Syiah ia adalah kelemahan sukatan pelajaran agama Islam di Malaysia yang tidak menyemaikan akidah Syiah itu bercanggah dengan akidah Islam yang kita anuti.
Kelemahan pentadbiran agama kita ialah tidak meletakkan Syiah itu sama dengan kedudukan agama lain yang dilarang disebarkan kepada umat Islam di Malaysia.
 
Tetapi kalau dalam keadaan yang demikian adalah pula orang PAS yang menjadi Syiah adalah suatu yang malang. Bagi PAS mana-mana ahlinya jadi Syiah gugur keahliannya secara automatik. Semasa menjadi Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, saya diarah bertindak kepada dua aktivis PAS yang jelas Syiah.
 
Saya umumkan dalam perhubungan bagi melepaskan mereka daripada sebarang aktiviti dalam PAS sebagai usaha supaya PAS tidak ditohmah mengembangkan Syiah. Tetapi mereka kerana sayangnya pada PAS adalah tinggi, boleh memberi sokongan dengan cara yang lain.

 Kedua-duanya menerima keputusan yang saya umumkan. Mereka terima baik apa yang saya lakukan kerana pada kedua-duanya mengira saya mengumumkan mereka orang Syiah dan mereka berbangga mereka dikenali dengan agama dan akidahnya.
 
Apa jua yang kerajaan buat untuk membendung akidah dan kegiatan Syiah itu perlu disegerakan dan ia buat demi menjadi akidah umat Islam Malaysia dan tidak dibuat bagi memerangkap PAS dari segi politik. Jika dibuat bagi menyusahkan politik PAS, maka diheret selama mungkin demi politik Umno, maka soal akidah tidak selesai. Dan akidah Syiah itu bukanlah satu-satu yang mecemar dan mencemaskan akidah umat Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.