KUALA
LUMPUR: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang sekali lagi
melahirkan kekesalannya berhubung penayangan filem kontroversi Tanda
Putera yang akan ditayangkan seluruh negara mulai Khamis ini.
“Ia adalah kemuncak sikap jenayah tidak bertanggungjawab dan anti nasional untuk sesiapa sahaja mereka-reka kejadian kencing palsu sebagai salah satu sebab yang dikatakan memprovokasi rusuhan 13 Mei 1969 tanpa asas fakta di dalam mana-mana bahan sejarah, sama ada dokumentasi atau fotografi, terutama dalam filem dibiayai dengan wang cukai rakyat.
“Kejadian palsu yang menggambarkan seorang pemuda Cina kencing di hadapan kediaman rasmi Menteri Besar Selangor itu boleh menjejas, mengancam hubungan antara kaum, membakar, menghasut kebencian dan memudaratkan kepada usaha-usaha pembangunan negara untuk menggalakkan keamanan serta sentiasa berada dalam keadaan muhibah dan harmoni.
“Ia amat menyedihkan jika filem terbaru arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba diingati sebagai filem ‘kencing’ kerana pembohongan yang tidak bertanggungjawab membayangi seluruh filem itu,” katanya dalam kenyataan,semalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen DAP Gelang Patah menyatakan tidak ada ‘lesen kreatif’ yang membenarkan perbuatan jenayah tidak bertanggungjawab dan anti nasional dalam negara.
“Walaupun Shuhaimi Baba mengakui bahawa ianya adalah filem cereka sekitar rusuhan kaum 13 Mei, beliau secara khusus harus mengakui bahawa insiden ‘kencing’ di hadapan kediaman rasmi Menteri Besar Selangor adalah khayalan imaginasi dan tidak ada takrif ‘lesen kreatif’ mewajarkan tindakan tidak bertanggungjawab dan anti nasional itu.
“Shuhaimi yang berbangga dirinya sebagai ‘pengasas awal filem-filem seram’ tidak boleh menganggap ‘Tanda Putera’ sebagai genre ‘filem-filem hantu’ yang pernah dia arahkan dulu memberikannya ‘lesen kreatif’ untuk membuat adegan rekaan melulu yang boleh membawa kesan buruk hubungan antara kaum,” tegasnya.
Portal berita, Malaysiakini bertarikh 20 Julai 2012 melaporkan antara adegan yang yang dipaparkan dalam Tanda Putera adalah peristiwa Lim Kit Siang kencing pada tiang bendera di hadapan kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris.
Namun Kit Siang menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu kerana beliau tidak berada Kuala Lumpur pada 11, 12 dan 13 Mei 1969 dan gambar yang digunakan dalam facebook ‘Tanda Putera’ bukan pada tahun 1969 tetapi dari kejadian yang berbeza di Sabah 15 tahun kemudian, tahun 1984.
Seorang saksi, Ahmad Habib, yang ketika itu seorang pelajar tahun kedua ijazah pertama Institut Teknologi Mara (ITM) dan berada di rumah Datuk Harun Idris semasa 13 Mei 1969, turut menyatakan adalah mustahil untuk berlakunya insiden ‘kencing’ dalam kawasan yang diawasi dengan rapi dan ketat di kediaman rasmi itu.
“Ia menjadi satu misteri mengapa insiden ‘kencing’ episod begitu penting kepada filem ‘Tanda Putera’ walaupun tidak mempunyai asas fakta,” ujarnya. -Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.