Rabu, 29 Mei 2013

NGO desak 'bebaskan' media dari pengaruh politik

NIZAM ZAIN

Kua Kia Soong
Kua Kia Soong
 
SHAH ALAM – Badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menuntut supaya media arus perdana di negara ini dibebaskan daripada pengaruh parti politik atau kerajaan, khususnya RTM.

Pengarah Suara Anak Malaysia (Suaram), Kua Kia Soong mendakwa kerajaan BN selama ini telah memonopoli RTM sekaligus menafikan hak rakyat Malaysia untuk bebas bersuara.

"Saya sendiri boikot banyak akhbar arus perdana kerana mereka tidak bebas.

“Jika pada tahun 80-an 90-an, saya boleh ditemui di media arus perdana, dan kini sebaliknya.

"Media arus perdana hari ini walaupun diboikot, namun mereka masih membuat keuntungan daripada surat khabar,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Katanya, RTM sepatutnya menjadi media kepada rakyat yang membayar cukai.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Tenaganita (Women's Force) Dr Irene Fernandez mendakwa, rakyat begitu kecewa dengan media arus perdana susulan pemberitaan yang tidak telus.

Katanya tindakan boikot ini bukan sahaja dilakukan NGO malah dilakukan secara individu susulan pelbagai maklumat yang diperolehi di media sosial.

“Laporan (setengah)  media arus perdana sangat mengelirukan dan ada kalanya dimanipulasikan keseluruhannya, tidak kurang pula laporan yang tidak jujur," ujar beliau.

 Sementara itu, menurut Presiden Persatuan Tindakan Wanita (Awam), Ho Yock Lin, tindakan boikot ini sebenarnya mencerminkan kekecewaan rakyat terhadap media yang diperalatkan oleh pihak tertentu untuk mencapai cita-cita politik.

"Mungkin kebanyakan rakyat tidak lagi mendapatkan maklumat dari media arus perdana, kerana media alternatif lebih berguna dan telus dalam setiap laporan mereka," ujar beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.